Penduduk bergotong-royong melapah daging ketika menjalankan ibadah korban di Dataran Kampung Sungai Chinchin pada 31 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pertandingan video sembelih korban, tawar hadiah wang tunai RM7,000

SHAH ALAM, 8 JULAI: Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM7,000 bagi pertandingan video sembelihan sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Berdasarkan perkongsian di Facebook, Mohd Zawawi Ahmad Mughni memaklumkan pertandingan itu dibuka mulai 10 hingga 17 Julai ini.

Juara pertandingan membawa pulang wang tunai RM2,000 beserta set pisau sembelihan manakala naib juara dan tempat ketiga pula masing-masing menerima RM1,500 dan RM1,000.

Selain itu, lima pemenang sagu hati berpeluang memperoleh wang tunai RM500 setiap seorang.

Antara syarat penyertaan adalah ia terbuka secara berkumpulan iaitu masjid, persatuan dan komuniti dengan diwakili tiga hingga lima individu serta durasi video mestilah tidak melebihi lima minit dengan mesej bertepatan.

Video penyertaan boleh dihantar ke emel [email protected] dengan menyertakan nama masjid, nama penghantar, nombor telefon perhubungan dan lokasi penggambaran dimana-mana pusat penyembelihan dan masjid di sekitar Selangor.

Orang ramai boleh menghantar sebarang pertanyaan menerusi http://wasap.my/60189494835/videoqurban


Pengarang :