Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika program Pemukiman Sasterawan Dan Karyawan sempena sambutan 50 tahun Jubli Emas Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) di Hotel Le Meridien, Petaling Jaya pada 14 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

Selangor teruskan sumbangan dana terbitkan karya sastera terkenal

PETALING JAYA, 14 JULAI: Kerajaan Negeri sedia meneruskan pemberian dana kepada Sasterawan Negara (SN) bagi menerbitkan semula naskhah popular.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu pernah dilaksanakan pada 2018 namun terhenti akibat penularan pandemik Covid-19.

“Peruntukan ini bagi menerbitkan semula karya penting SN. Tahun 2018 kita beri kepada Dato’ Dr Anwar Ridhwan dan ambil masa dua tahun untuk siapkan. Kita akan tumpu semula sama ada tahun ini atau tahun hadapan.

“Perkara ini akan diteliti serta dibincang semula dan mungkin kos sumbangan dinaikkan lagi kepada RM200,000 mengikut keperluan,” katanya ketika Program Pemukiman Sasterawan dan Karyawan sempena sambutan 50 Tahun Jubli Emas Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) hari ini.

Dalam program itu beliau bertemu penggiat seni termasuk tujuh SN yang mengemukakan beberapa pandangan bagi mengembangkan seni di Selangor.

Amirudin berkata bagi memartabatkan lagi bidang seni, kesusasteraan dan pensuratan, pihaknya bakal menganjurkan kelas latihan melibatkan tenaga pengajar dari kalangan pengkarya terkenal.

“Ini langkah jangka panjang. PPAS aturkan perkara ini. Kita ada perpustakaan tertentu yang boleh dijadikan pusat latihan.

“Pengkarya ini akan dibayar supaya boleh kembangkan ilmu dan bakat baharu. Bila sampai tahap tertentu, kita terbitkan pula karya peserta,” katanya.


Pengarang :