Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Sultan, Tengku Permaisuri ucap selamat menyambut Aidiladha, titah waspada Covid-19

SHAH ALAM, 9 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada umat Islam di negeri ini.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, baginda menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah kerana seluruh rakyat masih mampu meraikan Aidiladha dalam suasana yang sederhana dan harmoni.

“Namun baginda berharap rakyat terus berwaspada dengan wabak Covid-19 yang masih menular dan tabah dengan setiap ujian yang mendatang.

“Baginda mahu agar semua umat Islam membesarkan Allah pada Hari Raya Aidiladha ini. Kepada Allah jualah kita bertawakal setelah berusaha.

“Seharusnya, menerusi setiap ujian menjadikan kita lebih matang dan lebih menghayati erti sebuah pengorbanan dan redha dengan takdir Allah SWT,” titah baginda.

Baginda turut mendoakan umat Islam yang sedang menyempurnakan ibadah haji di tanah suci Mekah sentiasa dilindungi Allah SWT dan dipermudahkan segala urusan serta selamat pulang ke tanah air.

Pengarang :