Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir (tiga dari kanan) menerima tajaan dari Genting Malaysia Berhad bagi Kejohanan Tenis Remaja Terbuka Antarabangsa Genting-Selangor 2019 yang akan diadakan bermula 20 hingga 27 Ogos ini. Foto MBPJ
AGENDASUKANKINI

106 pemain berentap di kejohanan tenis remaja Genting-Selangor

SHAH ALAM, 15 OGOS: Seramai 106 pemain dari dalam dan luar negara bakal berentap pada Kejohanan Tenis Remaja Terbuka Antarabangsa Genting-Selangor 2019 bermula 20 hingga 27 Ogos ini.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memaklumkan kejohanan anjuran bersama Persatuan Tenis Selangor (STA) itu akan diadakan di Kompleks Sukan MBPJ Kelana Jaya.

“Selain Malaysia, negara-negara lain yang turut serta ialah Filipina, Singapura, Vietnam, Indonesia, Uzbekistan, Kazakhstan, India, Sri Lanka, Jepun, Maldives, Hong Kong, Korea, Jordan, Nepal dan Pakistan.

“Sebanyak empat acara akan dipertandingkan iaitu perseorangan lelaki, perseorangan perempuan, beregu lelaki, dan beregu perempuan 14 tahun ke bawah,” katanya di Facebook.

MBPJ menambah usaha sama itu berjaya mencungkil ramai bakat baharu khususnya dari akar umbi dalam program pembangunan sukan tenis remaja yang dilaksanakan sejak 1990.

“Penglibatan peserta dari luar negara akan meningkatkan lagi kemahiran dan mutu permainan peserta tempatan di samping menambah pengalaman dalam menyertai kejohanan peringkat antarabangsa,” katanya menambah penaja utama kejohanan ialah Genting Malaysia Berhad.


Pengarang :