Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Dato’ Mahmud Abbas (kanan) bersama Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Runcit Bank Islam Mizan Masram menunjukkan dokumen yang ditandatangani ketika majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Bank Islam di Restoran SACC Kelana Seafood, Shah Alam pada 15 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PKNS sasar pembangunan RM600 juta bagi projek rumah bertingkat tinggi

SHAH ALAM, 15 OGOS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM600 juta bagi enam projek perumahan bertingkat tinggi (high rise) hingga akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Mahmud Abbas berkata bagaimanapun unjuran itu tertakluk kepada keupayaan pasaran semasa terutama dalam fasa peralihan endemik.

Menurutnya, dua projek akan dilancar dalam masa terdekat iaitu di Seksyen 16, Shah Alam membabitkan 232 unit manakala Bangi (200 unit) dengan harga bawah RM400,000 seunit.

“Kita sangat berhati-hati sebelum melancarkan sebarang projek baharu dengan meneliti keadaan ekonomi negara kerana kita tidak mahu bangunkan rumah tanpa ada pembeli.

“Namun kita harap dapat melancarkan enam projek tahun ini dengan jumlah GDV lebih RM600 juta kerana sebelum ini pada awal tahun kita perlu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan untuk kebenaran merancang,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) bagi menawarkan kemudahan pembiayaan perumahan berdasarkan prinsip Tawarruq di sini hari ini.

Terdahulu, Mahmud berkata pembiayaan itu disediakan untuk semua produk hartanah di bawah PKNS yang dalam pembinaan serta siap dibangunkan seluruh Selangor.

Ia meliputi Puteri Soraya dan Puteri Aira di Kota Puteri; Azhara, Lavender dan Cassia di Antara Gapi; Rafflesia di Bernam Jaya serta Anggun Kirana dan Hijauan Enklaf di Alam Nusantara.


Pengarang :