Peserta mengadakan himpunan protes berhubung isu skandal kapal tempur pesisir (LCS) sambil memegang plakad dan sepanduk tertera pelbagai tulisan di hadapan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur pada 14 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

13 individu terlibat protes skandal kapal dipanggil bantu siasatan

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Polis akan memanggil 13 individu bagi memberi keterangan berhubung perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ yang diadakan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata ia susulan kertas siasatan yang dibuka berkaitan perhimpunan berkenaan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perhimpunan tanpa notis.

“Kita (polis) mendapati lebih kurang 60 individu terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa, ahli parti politik serta beberapa individu yang dikenal pasti dan belum dikenal pasti telah berhimpun di kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata individu berkenaan telah mengadakan perhimpunan sambil memegang beberapa plakad dan kain rentang bertulis antaranya ‘Keselamatan Negara Terancam Kesiagaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Terjejas’, ‘H20 Letak Jawatan’ dan ‘Siasat Di Mana Kapal’.

Perhimpunan yang bermula pada 2 petang itu berlangsung secara aman dengan kehadiran kira-kira 100 anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi mengawal situasi serta lalu lintas di lokasi terbabit dan semua yang hadir beredar sejam kemudian.

-BERNAMA


Pengarang :