EXCO Pertanian Ir Izham Hashim melawat gerai pameran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Pavillion Selangor sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Maeps, Serdang pada 6 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Belia, wanita digalak ceburi pertanian moden untuk raih pendapatan

SERDANG, 6 OGOS: Golongan belia dan wanita di negeri ini digalak terlibat dalam aktiviti pertanian moden sebagai salah satu saluran atau kaedah untuk menjana pendapatan.

EXCO pertanian dan industri asas tani berkata usaha itu juga bertepatan Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) yang menekankan lima asas bagi jaminan bekalan makanan rakyat.

“Saya melihat sekumpulan anak muda yang aktif dalam pertanian moden di sini, maka kita seru lebih ramai termasuk wanita terlibat dalam aktiviti ini memandangkan teknologi sekarang mesra wanita.

“Mereka perlu diberi galakan supaya jadikan pertanian moden sebagai pendapatan utama bukan tambahan. Namun tidak boleh melalui kaedah konvensional kerana itu agak sukar,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau ditemui selepas melancarkan buah naga jenis baharu “Pink Ruby” di Pavilion Selangor sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata Pavilion Selangor menerima kunjungan ramai sejak dibuka semalam selepas dua tahun tertangguh penganjurannya akibat Covid-19.

“Sambutan sangat hebat daripada pengunjung, kita dapat lihat keterujaan mereka apatah lagi selepas melalui fasa pandemik. Benda berkaitan pertanian dan sekuriti makanan sememangnya menjadi tumpuan.

“Lebih 20 gerai pempamer dihimpunkan di sini dan mereka dikenakan kadar bayaran rendah. Jika diikutkan ramai lagi mohon untuk turut serta namun tempat terhad,” katanya lagi.

MAHA 2022 bermula semalam hingga 14 Ogos adalah pameran pertanian terbesar dan berprestij yang menghimpunkan 1,500 gerai pempamer dengan potensi nilai jualan lebih RM250 juta.

Sebanyak lapan laman disediakan antaranya pertanian dan penternakan selain menampilkan 22 segmen dengan tarikan tersendiri.

 


Pengarang :