Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong berbual dengan penduduk yang memohon Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) di Dewan Desa Temuan, Petaling Jaya pada 30 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO: Hampir 21,000 layak terima RM300 sebulan, negeri belanja RM6.3 juta

SHAH ALAM, 1 OGOS: Seramai 20,974 individu layak menerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) setakat ini sejak permohonan inisiatif berkenaan dibuka pada 1 Julai.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata Kerajaan Negeri membelanjakan RM6.3 juta setakat Khamis lalu untuk diagihkan kepada semua penerima.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim
menjawab soalan wakil rakyat dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Shah Alam pada 1 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Bayaran dibuat menerusi e-dompet Wavpay. Pembayaran kepada 282 individu masih dalam proses kerana perlu semakan semula berkaitan kad pengenalan dan nombor telefon,” katanya ketika menggulung usul Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Bingkas menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal) bakal memanfaatkan 30,000 keluarga membabitkan peruntukan RM108 juta.

Program yang merupakan sebahagian daripada 44 insentif Iltizam Selangor Penyayang (ISP) itu membolehkan penerima mendapat bantuan bulanan sebanyak RM300 sebulan atau RM3,600 setahun.

Sementara itu, mengulas mengenai langkah Kerajaan Negeri menganjurkan Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC), Chang Khim berkata ia membantu syarikat mencapai status soonicorn (bernilai AS$100 juta) seterusnya bakal diiktiraf sebagai unicorn (terma syarikat bernilai AS$1 bilion).

“SDEC dilancar sejak 2016 menggalakkan penggunaan teknologi dalam kalangan syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Acara tahunan bawah Sidang Kemundak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) mengumpul pemain industri, ahli akademik, PKS dan sektor kerajaan serta swasta untuk rangka kerja lebih baik,” katanya lagi.


Pengarang :