Tumpahan minyak mengalir dari sebuah lori yang terlibat kemalangan di Lebuhraya Elite KM 25.9 arah utara berhampiran Persimpangan Bandar Gamuda Cove, Kuala Langat pada 19 Ogos 2022. Foto Facebook LUAS
AGENDANASIONAL

Kemalangan di Lebuhraya Elite, tiada tumpahan minyak dikesan

SHAH ALAM, 19 OGOS: Tiada tumpahan minyak dikesan pada sumber air susulan kemalangan sebuah lori di Lebuhraya Elite KM 25.9 arah utara berhampiran Persimpangan Bandar Gamuda Cove, Kuala Langat hari ini.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata siasatan segera dijalankan di lokasi kemalangan bagi memastikan tiada risiko pencemaran terhadap Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang.

“Hasil siasatan di kawasan aliran berhampiran dengan lokasi kejadian (50 meter) mendapati tiada sebarang kesan minyak yang mengalir masuk ke dalam sumber air berhampiran.

“Dalam pada itu, lori tersebut masih berada di lokasi kemalangan,” katanya dalam kenyataan.

LUAS memaklumkan PLUS Malaysia Bhd (Plus) mengambil langkah awal kawalan dengan menabur habuk kayu di sepanjang kawasan yang terjejas dengan tumpahan minyak.

Katanya, pemantauan rapi dari semasa ke semasa diteruskan bagi memastikan insiden tersebut tidak menjejaskan operasi LRA dan gangguan bekalan air kepada pengguna.

“LUAS terus komited dalam melaksanakan pemantauan 24 jam di lembangan sungai dalam memastikan kelangsungan sumber air di Selangor,” katanya.


Pengarang :