Kemeriahan suasana penerima dalam Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kali ke-25 di Pusat Konvensyen KUIS, Kajang pada 14 hingga 18 Ogos 2022. Foto ihsan Kuis
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Konvokesyen Kuis meriah, ibu bapa dibenar masuk rai anak selepas pandemik

SHAH ALAM, 15 OGOS : Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa (Kuis) kali ke-25 berlangsung meriah apabila ibu bapa atau waris dibenarkan masuk ke pusat konvensyen bagi meraikan anak mereka.

Kuis menerusi kenyataan memaklumkan suasana berbeza berbanding dua kali penganjuran sebelum ini yang hanya membenarkan graduan masuk ke pusat konvensyen susulan pandemik Covid-19.

“Bagaimanapun, pihak pengurusan majlis konvokesyen sentiasa peka dan prihatin dengan memastikan tatacara operasi piawai (SOP) berjalan dengan baik seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Majlis Konvokesyen yang diadakan mulai semalam hingga 18 Ogos menyaksikan seramai 1,889 graduan menerima ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma.

Selain itu, seramai lapan graduan dikurniakan Anugerah Diraja DYMM Sultan Selangor, Anugerah Dato’ Menteri Besar Selangor, Anugerah Exco Kerajaan Negeri Selangor, Anugerah Exco Kerajaan Negeri Selangor, Anugerah Rektor, Anugerah Kepemimpinan Siswa dan Anugerah Kepemimpinan Siswi.

Sejak 1998, jumlah keseluruhan graduan Kuis yang berjaya menamatkan pengajian adalah seramai 27,365 orang.

Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa (Kuis) kali ke-25 berlangsung meriah apabila ibu bapa atau waris dibenarkan masuk ke pusat konvensyen bagi meraikan anak mereka. Foto ihsan Kuis

Pengarang :