Bantuan alternatif melalui lori tangki mula digerakkan kepada pengguna dengan keutamaan untuk premis kritikal susulan henti tugas LRA Langat 2 pada 11 Ogos 2022. Foto Facebook Air Selangor
AGENDANASIONAL

LRA Langat 2 dijangka beroperasi semula 3.30 petang ini

SHAH ALAM, 11 OGOS: Loji Rawatan Air Langat 2 (LRA Langat 2) dijangka beroperasi semula 3.30 petang ini bagi membolehkan proses rawatan air mentah dimulakan.

Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), bekalan air terawat akan disalurkan berperingkat apabila sistem agihan telah distabilkan.

“Bantuan alternatif melalui lori tangki telah mula digerakkan kepada para pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal.

“Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas,” kata syarikat itu di Facebook.

LRA Langat 2 dihenti tugas sementara berikutan pencemaran bahan kimia di Sungai Semantan, Pahang berpunca daripada kemalangan di KM75.9 Lebuhraya Karak-Bentong menuju Kuala Lumpur semalam.

Berikutan itu, sebanyak 397 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat terkesan.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.


Pengarang :