Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sesi penggulungan usul Rancangan Selangor Pertama (RS-1) pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 2 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Rancangan Selangor dilaksana ambil kira faktor semasa

SHAH ALAM, 5 OGOS: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menjadi kerangka pembangunan lima tahun negeri dilaksana mengambil kira beberapa faktor semasa.

Menurut Dato’ Menteri Besar faktor itu meliputi ekonomi pasca pandemik Covid-19, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), perubahan iklim dan perang Ukraine-Rusia.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan sektor ekonomi negeri memerlukan lonjakan semula selepas terkesan teruk akibat wabak yang melanda dua tahun lalu.

“Selepas pandemik, kita anggap ia (RS-1) lebih perlu demi kemajuan negeri. Jika tidak mungkin sedikit perlahan untuk kembalikan rentak pembangunan ekonomi,” katanya.

Bercakap pada bicara Bernama TV malam ini, beliau berkata pelan pembangunan itu dirancang selari dengan status Selangor sebagai penyumbang tertinggi KDNK dengan peningkatan 0.3 hingga 0.8 peratus saban tahun.

Menurutnya, sebanyak 25 peratus disumbangkan negeri ini kepada KDNK pada 2021 diikuti 24.8 peratus tahun sebelumnya, manakala 22.7 peratus sekitar lima hingga tujuh tahun lepas.

“Jadi Selangor kena sumbang lebih selain rancang dan ketatkan pelan pembangunan ekonomi supaya jumlah bertambah sekali gus mencapai sasaran 30 peratus menjelang 2025,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata RS-1 menuntut persediaan rapi mendepani situasi perubahan iklim dalam tempoh lima tahun akan datang yang dijangka berlaku lebih kerap.

“Banjir atau bencana ini sedikit sebanyak mengganggu proses pembangunan negeri sekiranya kita tidak bersedia daripada segi kemudahan infrastruktur,” jelasnya.

Beliau menambah rancangan itu juga bagi mengatasi cabaran besar Perang Rusia-Ukraine yang menjejaskan keselamatan makanan sekali gus mengheret ke era kemelesetan.

RS-1 dibentangkan Amirudin pada 27 Julai membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM212.44 bilion dengan RM92.44 bilion disalur kepada projek pembangunan peringkat negeri termasuk pelaksanaan beberapa insentif bagi menjamin kebajikan rakyat.

Ia turut mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan tanpa mengetepikan pelan lima tahun Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang masih berjalan dan memberi kesan kepada Selangor.


Pengarang :