Sebahagian daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Putra Perdana (SMKPP) mendengar penerangan penggunaan aplikasi e-Tuisyen ketika majlis pelancaran program pengupayaan bagi meningkatkan prestasi pelajar SPM di Dewan Komuniti Putra Perdana, Sepang pada 31 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Program tingkat prestasi pelajar SPM anjuran MBI mudah difahami

SEPANG, 31 OGOS: Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana (SMKPP) menyifatkan program pengupayaan bagi meningkatkan prestasi anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mudah difahami.

Muhamad Ikhwan Harith Radzuan berkata sesi pembelajaran menerusi aplikasi e-tuisyen sangat mudah dengan penerangan yang padat dan terperinci.

“Kami menerima program ini dua minggu lalu dan mendapati penerangannya mudah dan walaupun video dimuat naik hanya tiga minit sahaja tetapi ia padat.

“Video yang tidak terlalu panjang sebenarnya membantu kerana masa singkat dan kurang berasa bosan,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, Nurul Jannah Shahrul Nizam berkata latihan disediakan dalam program tersebut membantu beliau untuk menjawab soalan peperiksaan.

“Menerusi program ini, saya mudah memahami pembelajaran selain mengulangkaji pelajaran sendiri.

“Program ini bukan sahaja memfokus kepada pembelajaran semata-mata tetapi juga mempunyai kuiz yang menarik,” katanya.

MBI hari ini melancarkan program pengupayaan bagi meningkatkan prestasi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 menggunakan aplikasi e-tuisyen.

Program dengan kerjasama MindAppz Sdn Bhd memilih SMKPP sebagai institusi pendidikan pertama pelaksanaannya dengan keterlibatan 50 pelajar bagi mengikuti pembelajaran dalam talian seperti video tuisyen, soalan peperiksaan dan latih tubi.

 


Pengarang :