AGENDAJENAYAH

Sembilan motosikal musnah terbakar di parkir flat

GEORGE TOWN, 18 OGOS: Sembilan motosikal yang diletakkan di kawasan parkir sebuah flat di Jalan Kurau, Jelutong di sini musnah dalam kebakaran awal pagi ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak Fauzian Izzuan Abdullah berkata pihak bomba bergegas ke lokasi kebakaran selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.26 pagi, dan mendapati kebakaran telah dipadamkan orang ramai.

“Kami terus menjalankan pemeriksaan rapi bagi memastikan tiada bara api atau punca api yang boleh mengakibatkan kebakaran berlaku semula,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati sembilan motosikal hangus manakala sebuah kereta jenis Toyota Vios turut terbakar kira-kira lima peratus, yakni di bahagian hadapannya, namun tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Katanya punca kejadian masih dalam siasatan.

— BERNAMA

 


Pengarang :