Paparan jadual penerbangan ketika tinjaun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 31 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Suruhanjaya penerbangan pertimbang denda syarikat kerap ubah jadual

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mempertimbang cadangan mengenakan penalti kewangan atau tindakan tegas lain yang bersesuaian terhadap syarikat yang gagal mematuhi jadual ditetapkan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata cadangan itu boleh dilaksanakan dengan perubahan atau tambahan kepada syarat lesen bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang, lapor portal Berita Harian.

“Bagi maksud bayaran pampasan kepada penumpang, Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) sudah memperuntukkan tanggungjawab syarikat penerbangan terhadap pengguna.

“Kod ini bertujuan melindungi hak dan kepentingan pengguna dengan memastikan semua aduan terhadap syarikat penerbangan diambil tindakan dan diselesaikan,” katanya dalam jawapan bertulis soalan wakil rakyat Balik Pulau Muhammad Bakhtiar Wan Chik dalam Dewan Rakyat, hari ini.

Muhammad Bakhtiar bertanya laporan siasatan terhadap syarikat penerbangan tambang murah yang culas dengan jadual penerbangan serta tindakan tegas bagi memastikan kejadian tidak berulang.

Ka Siong berkata syarikat yang menunda penerbangan atas faktor bawah kawalan seperti masalah operasi, komersial atau teknikal tertakluk untuk menawarkan pampasan dan penjagaan kepada penumpang.

“Sekiranya syarikat penerbangan gagal mematuhi MACPC, MAVCOM boleh mengenakan penalti kewangan sebanyak amaun yang tidak melebihi RM200,000 dan ketidakpatuhan kedua atau berikutnya, amaun 10 kali daripada penalti kewangan yang dikenakan bagi ketidakpatuhan yang pertama.

“Dari 2018 sehingga 2020, MAVCOM sudah mengenakan penalti sebanyak RM4.72 juta ke atas kegagalan syarikat penerbangan yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah MACPC,” katanya.

Dalam pada itu katanya, MAVCOM juga sudah membuat pemantauan berterusan berkaitan pembatalan atau penjadualan semula penerbangan yang sering berlaku sejak April lalu.

“Daripada jumlah 67,298 penerbangan yang dijadualkan bagi tempoh April hingga Mei lalu, 29,956 atau 44.51 peratus penerbangan domestik dan antarabangsa telah dibatalkan. Punca pembatalan atau penjadualan semula disebabkan kekangan pesawat dan juga kekurangan kakitangan,” katanya.

 


Pengarang :