AGENDANASIONAL

Tiga daerah di Selangor diramal ribut petir, hujan hingga 5 petang

SHAH ALAM, 28 OGOS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga 5 petang ini.

Agensi itu menerusi Twitter memaklumkan keadaan itu dijangka berlaku di negeri ini iaitu di daerah Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat serta seluruh Kuala Lumpur.

Situasi sama di Perak meliputi Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim; Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Bentong), Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Kuala Pilah dan Rembau) serta Sabah di Sandakan (Telupid dan Sandakan).

Manakala di Sarawak keadaan sehingga 4 petang melibatkan Kuching (Kuching), Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu (Kanowit) dan Kapit (Song).

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :