Anggota Bomba meninjau kawasan berisiko tinggi banjir akibat fenomena air laut pasang besar di Pengkalan Nelayan Tok Muda, Klang pada 12 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Air pasang besar: Ban, kunci air di Klang dalam keadaan baik

KLANG, 13 SEPT: Ban dan kunci air di seluruh daerah ini dalam keadaan baik hasil penyelenggaran berterusan dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Pegawai Daerah Klang Shahman Jalaludin bagaimanapun berharap tiada masalah timbul sekiranya daerah itu dilanda hujan lebat khususnya sepanjang fenomena monsun barat laut mulai pertengahan bulan ini hingga Disember.

“Setakat ini kunci air dalam keadaan baik memandangkan pihak berkaitan (JPS) mengambil langkah awal dengan membaiki mana-mana kerosakan yang ada. Kita harap ia berfungsi apabila diperlukan.

“Pihak berkenaan juga telah meninggikan ban yang rosak dan bocor,” katanya dalam sidang media selepas meninjau ban Pengkalan Tok Muda, Kapar semalam.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan tiada kerosakan ban di daerah ini susulan air pasang besar yang mencapai paras 5.46 meter(m) awal pagi semalam.

“Ini bermakna ban kita mampu menampung paras air hingga 5.5m. Jika berlaku kerosakan kecil itu perkara biasa,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan Selangor menghadapi peralihan monsun barat daya kepada monsun timur laut dengan kadar taburan hujan antara 100 hingga 400 milimeter(mm) mulai pertengahan bulan ini hingga Disember.

Dalam tempoh sama, fenomena air pasang besar juga dijangka berlaku di kawasan pesisir laut sepanjang Pelabuhan Klang dengan paras air laut tertinggi dijangka mencapai 5.5,.

Keadaan itu boleh menyebabkan air laut melimpah masuk ke kawasan penempatan penduduk selain risiko banjir jika bertembung dengan hujan lebat.


Pengarang :