Kakitangan GM Klang bergambar di depan pintu masuk tambahan di pasar raya berkenaan 8 April 2022. Foto Facebook GM Klang
AGENDANASIONAL

GM Klang buka lebih 100 kedai baharu, tawar pelbagai produk

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Pusat Borong GM Klang bakal membuka 115 kedai baharu dalam usaha memperkukuh misinya untuk menjadi pusat borong komprehensif dengan menawarkan lebih banyak pilihan produk kepada pelanggan.

Pengurus Komunikasi Jenama GM Klang Norsuhaida Othman berkata sebanyak 25 kedai akan dibuka pada bulan ini, manakala 90 kedai lagi bakal dibuka menjelang Oktober sehingga Disember tahun ini.

“Kedai-kedai yang baru dibuka di GM Klang ini merangkumi produk-produk seperti permainan kanak-kanak, aksesori fesyen dan juga kedai makanan termasuklah rangkaian kedai serbaneka terbesar iaitu 7- Eleven,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kepercayaan pemborong kepada jenama GM Klang menyuntik semangat pihaknya untuk terus membangunkan pusat borong ini ke tahap lebih tinggi dari segi penyediaan fasiliti perniagaan yang terbaik serta mewujudkan lebih banyak peluang rangkaian perniagaan ke peringkat antarabangsa.

Dalam masa sama, beliau berkata pusat borong tersebut turut menerima pengunjung dari pelbagai negara terutamanya dari Singapura, Indonesia, Brunei mahupun negara-negara Eropah dan sebagainya.

Tambahnya, kedatangan pengunjung luar negara berkenaan adalah hasil usaha kerjasama GM Klang dengan Tourism Selangor dan Port Klang Cruise Terminal (PKCT) dengan penyediaan pengangkutan secara percuma untuk para penumpang kapal persiaran dari PKCT ke GM Klang.

“Usaha ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dan sekali gus mendedahkan GM Klang kepada ramai pelancong luar negara,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :