Perunding Ortopedik Kanan Hospital Nepean Australia, Prof Rami M. Sorial (dua, kiri) melakukan demonstrasi pada bengkel pembedahan robotik sendi pertama di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 30 September 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

HKL sedia khidmat bedah ganti sendi lutut, pinggul secara robotik

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Hospital Kuala Lumpur (HKL) kini menjadi hospital pertama kerajaan menyediakan perkhidmatan pembedahan penggantian sendi lutut dan pinggul secara robotik kepada pesakit osteoartritis.

Ketua Unit Penggantian Sendi HKL Dr G. Kunalan berkata perkhidmatan itu disediakan sejak Julai lepas selepas menerima satu unit Robotic Surgical Assistant (ROSA) daripada sebuah syarikat swasta di Amerika Syarikat.

Beliau berkata robot ROSA yang dipinjamkan selama setahun kepada HKL membolehkan sebanyak 21 pembedahan penggantian sendi dilakukan setakat ini, termasuk empat kes kompleks yang memerlukan kepakaran sistem komputer navigasi.

“Dengan penggunaan robot ini, ketepatan menempatkan implan di bahagian yang dikehendaki boleh mencapai sehingga 98 peratus berbanding hanya kira-kira 94 peratus jika menggunakan kaedah konvensional.

“Ini sekali gus mengurangkan kesakitan dialami pesakit selepas pembedahan dan berupaya untuk pulih dengan lebih cepat, selain menjadikan implan dibuat bertahan untuk tempoh yang lama,” katanya selepas bengkel pembedahan robotik sendi pertama di hospital itu hari ini.

Dr Kunalan berkata penggunaan robot itu juga membantu pakar bedah merancang pembedahan menggunakan data prapembedahan pesakit daripada imbasan tomografi berkomputer dan sinar-x agar pembedahan dapat dilakukan dengan lebih selamat.

“Oleh kerana ia (robot) hanya dipinjamkan kepada HKL dan kos (pembelian) setiap robot adalah antara RM3 juta hingga RM6.5 juta, kita berharap Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempertimbangkan mendapatkan robot ini untuk kegunaan pakar di empat hospital yang menyediakan perkhidmatan subpengkhususan ini.

“Keempat-empat hospital itu ialah HKL, Hospital Umum Sarawak, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu (Kelantan) dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar (Kedah),” katanya.

Sementara itu, Ketua Sub Kepakaran Artroplasti KKM Dr Mohd Yusof Ibrahim berkata evolusi pembedahan penggantian sendi secara robotik terbukti mengurangkan kebarangkalian pembedahan ulangan dan penggunaan tenaga manusia.

“Kaedah pembedahan konvensional biasanya menyebabkan kebarangkalian pembedahan ulangan yang tinggi kerana ketidaktepatan menempatkan implan di tempat yang sepatutnya.

“Selain itu, kaedah konvensional memerlukan sekurang-kurangnya empat pakar terlibat dalam pembedahan berbanding hanya dua atau tiga orang jika menggunakan bantuan robot,” katanya.

Dr Mohd Yusof berkata di Malaysia dianggarkan 10 peratus daripada keseluruhan populasi dewasa memerlukan pembedahan artroplasti kerana kerosakan pada sendi lutut atau pinggul.

“…tetapi pada masa ini, saya rasa masyarakat kita masih kurang kesedaran mengenai pembedahan ini kerana hanya satu hingga dua peratus sahaja yang sanggup membuat pembedahan berbanding di Singapura dan Thailand.

“Singapura contohnya menjalankan lebih daripada 100 pembedahan ini dalam tempoh seminggu sedangkan negara kita contohnya di HRPZ II, hanya ada 10 atau 12 pembedahan seminggu. Jadi sokongan kerajaan terhadap penggunaan robotik diperlukan kerana akan menjadi kekuatan dalam KKM,” katanya. – BERNAMA

 


Pengarang :