Mais menggalakkan lebih ramai menggunakan kemudahan e-wasiat bagi memudahkan proses agihan harta pusaka jika seseorang individu meninggal dunia. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Mais seru umat Islam celik, fahami ilmu faraid urus harta pusaka

SHAH ALAM, 5 SEPT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyeru umat Islam celik dan memahami ilmu faraid dalam mentadbir harta pusaka.

Setiausahanya berkata banyak kesan negatif apabila waris atau masyarakat tidak memahami ilmu itu antaranya pertelingkahan sesama waris dan pembekuan harta pusaka.

Dr Ahmad Shahir Makhtar memaklumkan implikasi lain membabitkan isu kematian berlapis, anak angkat dan anak tidak sah taraf.

“Berdasarkan laporan media, hampir RM70 billion nilai harta pusaka dengan majoriti umat Islam tidak dituntut sejak merdeka sehingga hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata selaku pihak berkuasa terhadap hal ehwal agama Islam, agensi itu akan terus memperkasa strategi mengajak masyarakat Islam untuk sentiasa mengutamakan pengurusan harta.

Selain itu, katanya, umat Islam diminta menjadikan Mais sebagai tempat rujukan utama berkaitan pengurusan harta.

“Mais merupakan badan yang diamanahkan untuk mentadbir harta umat Islam selaras dengan bidang kuasa dan hukum syarak iaitu sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Subseksyen 5(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003,” katanya.

Ahmad Shahir menambah Mais juga menyediakan platform digital bagi memberi kemudahan kepada umat Islam mengurus harta pusaka seperti SISWA MAIS, K-Faraid MAIS, e-Faraid MAIS.


Pengarang :