Seorang lelaki memberi penerangan mengenai buku kanak-kanak di Ekspo Buku Petaling Jaya (PJBX) 2022. Foto Facebook MBPJ
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hampir 2,000 individu kunjungi ekspo buku Petaling Jaya

SHAH ALAM, 5 SEPT: Hampir 2,000 individu mengunjungi ekspo buku, Petaling Jaya Book Expo (PJBX) di Dewan Sivik MBPJ sejak 3 September hingga semalam.

Penolong pengarah kanan bahagian sumber ilmu Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya berkata kehadiran pengunjung ke ekspo anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) amat memberangsangkan selepas dua tahun terhenti akibat pandemik Covid-19.

“Hari pertama lebih 1,000 pengunjung hadir manakala keesokannya sekitar 800 orang. Sambutan agak menggalakkan kerana ruang disediakan bagi penganjuran kali ini lebih besar berbanding sebelumnya.

“Kita menjangkakan kira-kira 20,000 orang hadir ke ekspo ini sehingga 11 September memandangkan ia bukan ekspo berkonsepkan mega,” kata Zainal Abidin Rahim ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau berkata orang ramai boleh memperoleh pelbagai jenis bahan bacaan yang dipasarkan oleh lebih 60 pempamer.

“Setakat ini novel antara yang paling laris dijual, begitu juga komik, buku akademik dan buku berkonsepkan keagamaan,” katanya.

Ekspo yang dianjur dengan kerjasama Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) selama sembilan hari bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Selain jualan buku, turut diadakan seminar peperiksaan, pertandingan mewarna dan bercerita, sesi bual bicara dan sesi bedah buku.

Pada 31 Januari 2019, Petaling Jaya dinobatkan antara 10 bandar di dunia yang menerima pengiktirafan sebagai Bandar Pembelajaran 2019.

Anugerah ini diberikan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di atas pelbagai pencapaian cemerlang dan inisiatif diusahakan MBPJ khususnya di dalam bidang pendidikan.


Pengarang :