ADN Permatang Rozana Zainal Abidin (depan, tengah) bergambar bersama penerima selepas program Khas Penyampaian Bantuan Sumbangan Mangsa Bencana Ribut Daerah Kuala Selangor di Dewan Dato’ Pengawa Permatang, Kuala Selangor pada 7 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI salur lebih RM200,000 bantu 206 mangsa ribut Kuala Selangor

KUALA SELANGOR, 7 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalur sebanyak RM206,000 kepada 206 keluarga terjejas ribut di Kuala Selangor pada 11 Mei lalu.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya berkata bantuan RM1,000 setiap keluarga diagih membabitkan 98 rumah dari mukim Tanjung Karang 1, Tanjung Karang 2 (104) dan Ujong Permatang (empat).

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor 

Ahmad Azri Zainal Nor memaklumkan peruntukan sama rata tanpa mengira tahap kerosakan kediaman mangsa hasil perbincangan bersama Pejabat Daerah dan Tanah serta Jabatan Kerja Raya Kuala Selangor.

“Walaupun jumlah ini tidak mampu menampung kerugian dialami mangsa, namun kita berharap ia dapat meringankan beban mereka,” katanya pada majlis serahan bantuan hari ini.

Agihan sumbangan di Dewan Dato’ Penggawa Permatang di sini turut disertai Ahli Dewan Negeri Permatang Rozana Zainal Abidin.

Sementara itu, Rozana berterima kasih atas keprihatinan MBI menyediakan peruntukan membantu mangsa bencana daerah itu selain berharap mangsa mengurus wang tersebut sebaiknya.

ADN Permatang Rozana Zainal Abidin

“Kita tahu mungkin ada sebahagian mangsa yang sudah baik pulih kerosakan rumah masing-masing, tetapi wang bantuan ini boleh disimpan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut menasihati penduduk sentiasa berwaspada susulan perubahan cuaca sejak akhir-akhir ini selain mengelak aktiviti di lokasi berbahaya seperti pantai dan laut.

“Memandangkan ada jangkaan banjir besar akan berlaku, saya sudah mengarahkan kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat agar bersiap siaga bukan hanya dalam bentuk bantuan makanan tetapi peralatan seperti jaket keselamatan, bot dan sampan,” katanya.

Insiden kira-kira jam 3 pagi pada Mei lalu menerbangkan atap rumah selain menyebabkan pokok di sekeliling kediaman penduduk tumbang.

Ketika itu, sebahagian besar penduduk sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi angin kuat selain tempias air hujan yang masuk ke dalam rumah melalui bumbung.


Pengarang :