BUDAYARENCANA

Ufuk

Oleh Nur Arif Isa

(i)

Warna kebiruan langit serupa di samudera. Langit mempunyai bahasa alam, pada hujannya memberi benih kehidupan. Ketika berada di puncak ufuk yang meleraikan mutiara dari dasar samudera; ketika itu langit sedang berahi dalam mahligainya. Membuka hijab sebalik mendung awan yang mengisyaratkan. Awan itu adalah lapisan sama pada satu putaran yang berbumbungkan angkasa maha perkasa. Memberi seribu dalam satu harapan yang mewarnai jagat raya. Sebagaimana berahinya sepasang kekasih; begitu juga berbudinya alam pada kehidupan. Menghidupi puing-puing benih kebahagiaan insani ditengah-tengah cuaca mendung, melerai kilau cahaya yang menyinari jagat raya. Kegelapan lorong hitam yang memuncak berahi di angkasa hanya dapat dilerai oleh ufuk manusia. Ufuk itu juga mempunyai rasa yang dapat dinikmati bersama. Ketika rembulan malam menjadi saksi kesyahduan bayu lembut pada pipi seorang gadis jelita itu; aku memeluknya dalam keinginan untuk menakluk jagat raya. Pada gadis yang jelita itu; terlihat olehku akan kejelitaan, kelembutan, kecantikan, nan kedamaian; kini bernafsu ufukku yang sedang meledak-meledak atas rasa kecintaan ini; agar nusa ini kekal menjadi makmur.

(ii)

Di sebuah rimba yang berkepulauan ada seekor rusa kebanggaan nusa. Memang sudah menjadi maklum kepada kita sekiranya terdapat sebuah rimba, tentu ada kehidupan buas. Dikisahkan di jalanan, sekumpulan anak muda yang ghairah akan nasib nusa bersama-sama seekor rusa, mengisyaratkan gerakan rasa dari bawah. Diibaratkan kisah-kisah leluhur kita; ada seekor sang kancil di bawah pokok Melaka yang hendak menendang anjing. Akhirnya, anjing itu tetap binatang seperti haywani yang lain juga. Sang kancil itu pun akhirnya dijadikan sebagai simbol kekuasaan, suatu lambang tak berlambang, hanya mereka yang ghairah memaut kuasa. Kekuasaan itu candu bagi mereka yang kekeringan ufuk. Sebagaimana candu itu merosakkan akal; seperti itulah kuasa itu mencandu akal. Datanglah kemudian benak seorang lelaki tua yang agak uzur untuk mengikuti gerakan rasa daripada sekumpulan anak muda itu. Lelaki tua itu menanyakan khabar: jikalau dirinya tidak ghairah akan nasib nusanya seperti sekumpulan anak muda, lalu bagaimanakah nasib tubuh dirinya yang uzur itu?

Menjengkelkan, yang menjawab pertanyaan lelaki tua adalah seekor rusa yang hampir kepupusan habitat angkara generasi lelaki tua. Tambah menjengkelkan, lelaki tua itu tidak dapat memahami bahasa dan jawapan naluri daripada seekor rusa. Kejengkelan demi kejengkelan, ghairah meledak; si rusa menanduk usus lelaki tua yang hanya tahu melahap darah daging kerabatnya. Tanduk rusa berkilauan bak tempa besi yang padat nan tajam menusuk, angkasa bersilih suara – oh jeritan zaman beransur-ansur, darah membusuk, berlumuran; tetapi wangi aroma adalah kesyahduan bayu nan lembut pada pipi seorang gadis. Terburailah perut boroi lelaki tua itu dengan segala limpah rahmat darahnya untuk memuaskan ghairah tanduk si rusa. Takdir lelaki tua itu, menjadilah dia peristiwa untuk diingati: Hari Jeritan Zaman!

“Apa kita perlu buat dengan lelaki tua ni?” tanya salah seorang anak muda yang cuba menenangkan keadaan.

“Adakah si rusa juga perlu disoal selepas kepuasan tanduknya tercapai?”

“Lumpur darah yang berlumuran ini juga, bagaimana?”

Suasana kala itu memecah buntu, dengan segala persoalan yang berwenang-wenang menjadi nafas kebebasan untuk bersuara. Ruang pada lapisan suasana itu diisi pendapat-pendapat yang akhirnya membezakan isi tin-tin kosong yang bersepah-sepah di sepanjang jalanan. Anak-anak muda itu perlu dirasakan untuk mengisi satu lagi keperluan seketika dengan pengisian intelek mereka. Jikalau timbul kemenjadian asuhan akan berbekallah generasi yang ampuh penerus masa muka nusa. Persoalan demi persoalan, pentanyaan demi pentanyaan, kata demi kata, dibiarkan sahaja si rusa pada ruang-ruang lapisan suasana untuk sesama mereka menggawangi usia mudanya daripada perangai kalut ketuaan dengan kenikmatan yang selayaknya. Si rusa mempunyai anak kecil di bawah asuhannya. Kini anak kecil asuhannya mendewasa. Dia melihat dan belajar dengan cepat : dari, tentang, sebab musabab, peristiwa dan juga melibatkan sekumpulan anak-anak muda itu. Dia mewarisi jiwa si rusa yang bertanduk bak berkilauan tempa besi yang padat nan tajam menusuk ke puncak berahi. Dia bertanduk ke kiri luar, dan, ke kanan dalam – yang hampir tidak kelihatan – tetapi dia adalah manusia lahiriah yang mempunyai akal dan jiwa. Dia bersama-sama kumpulan anak muda itu – walaupun tidak kelihatan – mengikuti jejak-jejak denai peristiwa yang telah terjadi. Hembusan angin bayu nan lembut pada pipi seorang gadis dapat dihidunya dengan kembali kepada satu titik waktu. Dia terlihat betapa lelaki tua itu begitu benak kecanduan kekuasaan. Pada waktu itu, mata lelaki tua terjojol keluar seolah sedang dicekik rasa angkuh di tengkorak kepala, sudah tidak seberapa maya. Membawa khayalan bahawa “Akulah Tu(h)an!” Dia ketika itu seperti berhadapan dengan Firaun di padang Sahara kegersangan, dahagakan ufuk baru untuk terbit.

(iii)

Terbitnya mentari bererti putaran yang berbumbungkan angkasa yang maha perkasa masih bernyawa. Putaran maha sumber penting buat jiwa-jiwa yang mahu bernyawa. Tanpa putaran ini tentu ruang-ruang untuk bersilih ganti hanya menjadi kuku besi yang akutkan bayangan pada perintah putarannya. Pabila hadirnya ufuk-ufuk baru yang meleraikan kejumudan kuku besi; kukunya tidak tajam seperti tanduk rusa; besinya juga tidak dapat melawan keras arus deras dari bawah. Alam boleh bersuara gempa hanya daripada kelalaian manusianya. Dikalanya itu, mana lagi terbitnya ufuk baru sekiranya luang di celah-celah bumi? Inilah didengari seperti sebuah peri sahibul hikayat bahawa sesungguhnya tiada kenal dirinya dalam dunia adalah sia-sia. Adakah kita mahu sia-siakan ruang-ruang nafas segar untuk kita hidup angkara sebuah kejengkelan yang akhirnya membusukkan udaranya? Ufuk baru adalah sebuah nafas segar yang dapat dicapai oleh udara melangit ke puncak berahi angkasa maha perkasa. Aku menutup(i) mata. Menarik nafas ke puncak titik dari satu titik. Aku menghembus nafas ke bawah. Memandang langit biru, ke atas, agar ada ufuk baru yang menemani dalam gelap rembulan malam. Malam ini terasa kesyahduan bayu nan lembut pada pipi seorang gadis jelita. Ufuk yang mengisyaratkan seluruh jagat raya di atas tinta dakwat cair pada keratan helaian dari tumbuhan yang kita sama-sama menanam benihnya.

 

 


Pengarang :