Penyokong Arema FC dan Persebaya Surabaya dikepung polis pencegah rusuhan yang melepaskan gas pemedih mata selepas pergaduhan tercetus pada perlawanan bola sepak di Jawa Timur, Indonesia pada 1 Oktober 2022. Foto Facebook Retro Bola Sepak
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

120 terkorban dalam rusuhan bola sepak Indonesia, 180 lagi cedera

JAKARTA, 2 OKT: Rusuhan pada perlawanan bola sepak di Jawa Timur, Indonesia telah menyebabkan sekurang-kurangnya 120 penyokong terbunuh dan 180 lagi cedera malam tadi.

Menurut laporan media tempatan, penyokong perlawanan antara Arema FC dan Persebaya Surabaya dikepung polis pencegah rusuhan yang melepaskan gas pemedih mata selepas pergaduhan tercetus.

Gas pemedih mata menyukarkan penyokong bernafas dalam suasana kelam kabut menyebabkan mereka terpijak dan terhimpit sesama sendiri.

Penyokong Arema berang setelah pasukan mereka tewas 3-2 dalam pertembungan ‘derby Jawa Timur’ di Stadium Kanjuruhan, Malang memasuki kawasan padang untuk bertemu pemain dan pegawai.

Lebih kurang 3,000 daripada 40,000 penyokong yang hadir cuba memasuki kawasan padang, kata Ketua Polis Daerah Jawa Timur Inspektor Jenderal Nico Afinta seperti dipetik media tempatan.

Beliau berkata 34 maut di stadium dan selebihnya meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital termasuk dua anggota polis. – BERNAMA


Pengarang :