Siri ke-10 Jelajah Ehsan Rakyat (JER) DUN Gombak Setia diadakan di Medan Selera Batu 8 1/2 , Jalan Gombak pada 29 Oktober 2022. Foto Facebook Pusat Khidmat Rakyat – Penyelaras Dun Gombak Setia
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Harap jualan ehsan diterus, bantu ringan beban rakyat

SHAH ALAM, 30 OKT: Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia harap program jualan murah untuk rakyat diteruskan pada masa akan datang.

A Rahim Kasdi berkata program yang menawarkan barangan asas pada harga murah di Batu 8 1/2 , Jalan Gombak semalam dapat sambutan menggalakkan daripada penduduk.

“Siri ke-10 Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di DUN Gombak Setia. Alhamdulillah, sambutan begitu menggalakkan daripada penduduk setempat.

Penyelaras A Rahim Kasdi ketika meninjau program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) DUN Gombak Setia diadakan di Medan Selera Batu 8 1/2 , Jalan Gombak pada 29 Oktober 2022. Foto Facebook Pusat Khidmat Rakyat – Penyelaras Dun Gombak Setia

“Diharapkan program-program seperti ini diteruskan lagi supaya dapat kita mengurangkan beban rakyat,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, A Rahim berkata program JER akan diteruskan di Sg Tua, Gombak Setia dan Hulu Klang setiap hari sehingga 17 November ini.

Menerusi jualan murah tersebut, ayam standard dijual pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur (RM10 sepapan).

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) turut menawarkan ikan kembung atau selayang pada harga RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk menjayakan jualan murah di seluruh 56 DUN mulai 6 September hingga 6 Disember ini melibatkan 160 lokasi.


Pengarang :