Antara kesan banjir yang dapat dilihat setelah air surut ketika tinjauan situasi banjir di Kampung Belimbing Dalam, Alor Gajah, Melaka pada 6 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir Melaka meningkat kepada 55 orang, semua masih di PPS

MELAKA, 23 OKT: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal, Alor Gajah meningkat kepada 55 orang daripada 14 keluarga petang ini berbanding 53 orang daripada 14 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam kenyataan memaklumkan kesemua mereka merupakan penduduk dari Kampung Gadek, Kampung Punggur, Kampung Bukit Tambun dan Kampung Bukit Balai di Alor Gajah.

“Banjir turut berlaku di Kampung Pengkalan Rama Pantai dan Kampung Sungai Putat di Melaka Tengah dan Batang Melaka serta Gapis di Jasin namun tiada mangsa dipindahkan ke PPS,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, seorang mangsa banjir, Siti Khadijah Nordin, 40, dari Bukit Balai, Durian Tunggal berkata dia sudah 10 kali berdepan banjir tahun ini berikutan rumahnya berdekatan sungai.

“Rumah kami baharu sahaja dinaiki air pada September lepas dan awal bulan ini. Semalam bila lihat cuaca gelap dan hujan berterusan, saya segera mengemas pakaian dan menyelamatkan barangan penting kerana tahu perlu berpindah,” katanya kepada pemberita di PPS SK Durian Tunggal.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata mereka berpindah ke PPS itu kira-kira 7.30 malam tadi selepas kediamannya dinaiki air hingga paras pinggang.

Zaiton Suman, 55, dari Kampung Bukit Tambun pula berkata banjir yang dihadapinya merupakan kali ketiga untuk tahun ini berikutan limpahan air Sungai Garing berdekatan rumahnya.

Menurut Zaiton, dia bersyukur keluarganya dan wakil penduduk di situ sentiasa prihatin terhadap keselamatan mereka sekeluarga terutama anak lelakinya, Muhammad Iman Farhan Abdullah, 17, yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU). – BERNAMA


Pengarang :