Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika kempen PRN Sabah pada 26 September 2020. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

KEADILAN yakin pertahan kerusi Parlimen Tawau, Ranau, Putatan

SHAH ALAM, 23 OKT: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yakin mempertahankan kerusi Parlimen Tawau, Ranau dan Putatan dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15)

Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keyakinan itu bersandarkan kepada sokongan, kesedaran rakyat dan kerja keras jentera parti di negeri itu, lapor Bernama.

“Ahli Parlimen (calon) yang diangkat adalah berani berucap tegas, memperjuangkan nasib rakyat Sabah, dan syarat lain, mesti memiliki rekod integriti bersih, tidak mengambil kepentingan (untuk diri sendiri) termasuk balak serta kontrak dari negeri Sabah,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas Jelajah HARAPAN Sabah di Sandakan, hari ini, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata pembahagian kerusi gabungan itu telah selesai dan bakal diumumkan dalam masa terdekat.

Anwar berkata Sabah memerlukan dasar yang boleh membantu rakyat termasuk berkaitan peluang pekerjaan, isu harga barang, mutu pendidikan, kemudahan asas, kesihatan serta penjanaan ekonomi.

Pada PRU14, KEADILAN menang di Parlimen Tawau, Ranau serta Putatan, namun penyandang kerusi Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, bertindak keluar parti dan menyertai Bersatu.


Pengarang :