Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Sektor pembuatan rekod pelaburan diluluskan hampir RM5 bilion

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Selangor mencatat pelaburan diluluskan bagi sektor pembuatan sebanyak RM4.9 bilion untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Merujuk data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak RM3.3 bilion disumbangkan pelaburan langsung asing (FDI).

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, negeri juga menyumbang hampir 25 peratus kepada ekonomi negara selain kekal destinasi pilihan pelabur tempatan dan antarabangsa.

“Secara perbandingan, Selangor menerima sejumlah RM7.5 bilion pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan sepanjang tahun lalu.

“Oleh itu, kita sudah melihat peningkatan pelaburan yang masuk sepanjang tempoh berkenaan untuk Selangor sekali gus yakin dapat mencapai sasaran RM10 bilion tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Perasmian disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Hadir sama, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim.

Dalam pada itu, Amirudin berkata peningkatan nilai pelaburan yang disokong oleh pemantauan data ekonomi menunjukkan FDI kembali pulih ke tahap sebelum pandemik Covid-19.

Tambahnya, aliran menaik itu turut didorong perjanjian rentas sempadan dan projek kewangan antarabangsa yang kukuh selain syarat kewangan lebih mudah dan pakej rangsangan infrastruktur.

“Bagaimanapun, kita tetap berhati-hati berikutan ekonomi dunia tidak menentu berikutan ketegangan antara Amerika Syarikat dan China berterusan selain krisis tenaga di Eropah Tengah,” katanya.

 


Pengarang :