Yang Dipertua Majilis Perbandaran Kajang (MPKj) Najmuddin Jemain (tengah) bersama Ahli Majlis MPKj Zon 20 Muhammad Hanafi Jalalludin (kiri) meninjau parit di Sungai Semenyih ketika Program Semenyih Prihatin Sungai 2021 di Pekan Semenyih, Hulu Langat pada 3 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPKj terima dana RM4.24 juta, senggara infrastruktur perindustrian Balakong Jaya

BALAKONG, 5 OKT : Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menerima sumbangan berjumlah RM4.24 juta bagi kerja naik taraf dan penyelenggaraan infrastruktur di kawasan perindustrian Balakong Jaya.

Yang dipertuanya berkata sumbangan oleh Persatuan Kawasan Perindustrian Balakong Jaya adalah hasil caruman ahli persatuan dalam Tabung Infrastruktur dan Penyelenggaraan Kawasan Perindustrian Balakong Jaya sejak 2008.

Maklum Najmuddin Jemain, usaha tersebut memudahkan jabatan kejuruteraan MPKj melaksanakan kerja naik taraf dan menyelenggara jalan, perparitan serta lampu jalan secara teratur dan bersistematik.

“Untuk permulaan jabatan kejuruteraan MPKj melantik juruukur tanah dan jurutera perunding bagi menyediakan pelan induk infrastruktur bagi menyelesaikan masalah utama seperti jalan rosak, berlubang dan banjir di kawasan industri itu.

“Penyediaan pelan induk ini dijangka mengambil masa kira-kira enam bulan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Tabung Infrastruktur dan Penyelenggaraan Perindustrian Balakong Jaya kepada MPKj di sini, hari ini.

Beliau berkata pengusaha kilang dan industri di kawasan tersebut perlu bertanggungjawab untuk menjelaskan cukai taksiran kerana ia adalah sumber MPKj untuk melaksana perancangan infrastruktur di kawasan terlibat.

“Saya difahamkan kawasan ini berkeluasan kira-kira 200 ekar dan memerlukan perbelanjaan besar untuk penyelenggaraan infrastruktur,” katanya.


Pengarang :