Keadaan banjir kilat di Kampung Paya Kenangan, Johor Bahru susulan hujan lebat lebih dua jam pagi ini ketika tinjauan pada 5 Oktober 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di Johor menurun kepada 22 orang

JOHOR BAHRU, 5 OKT: Jumlah mangsa banjir kilat yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor berkurangan kepada 22 orang setakat 4 petang berbanding 54 orang, pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan memaklumkan ia susulan penutupan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya, di Pontian pada 3 petang.

Menurut JPBD, SK Melayu Raya yang dibuka Ahad lepas menjadi tempat berlindung penduduk dari Kampung Sri Gambut, Kampung Paya Embun, Kampung Melayu Raya dan Kampung Sri Menanti di Pontian.

“Sementara itu, PPS SK Sungai Linau di Kluang masih dibuka dengan menempatkan 22 orang penduduk dari Kampung Sungai Linau.

“Banjir kilat di Kampung Paya Kenangan di Tebrau, di sini, yang bermula 8.50 pagi tadi pula telah mulai surut. Kejadian yang menjejaskan kira-kira 30 rumah itu dipercayai akibat hujan lebat lebih dua jam,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :