Penyanyi Nabila Razali. Foto Facebook Nabila Razali
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Nabila Razali, Baby Shima hiburkan pengunjung dalam Jelajah Selangor di Sepang

SHAH ALAM, 26 OKT: Artis popular Nabila Razali dan Baby Shima akan menghiburkan orang ramai dalam Jelajah Selangor Penyayang daerah Sepang pada Sabtu dan Ahad ini.

Kedua-dua penyanyi itu akan mengadakan persembahan dalam program bantuan rakyat anjuran Kerajaan Negeri berlangsung di KIP Sentral, Kota Warisan yang turut dimeriahkan dengan pelbagai acara lain bermula 8 pagi hingga 6 petang itu.

Penyanyi Baby Shima. Foto Facebook Baby Shima

Bertemakan Menjamin Kehidupan Bermartabat, pengunjung boleh mendapatkan barang keperluan asas dengan harga murah melalui Jelajah Ehsan Rakyat dan saringan kesihatan percuma ditawarkan Selangor Saring.

Selain itu, beberapa pertandingan juga diadakan seperti basikal lasak BMX, e-Sukan (PUBG dan Mobile Legends), sukan rakyat, memanah, cabutan bertuah, mewarna dan melukis.

Acara dua hari itu bakal dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, yang turut dijadual mengadakan program bersama komuniti pada sebelah pagi.

Sebelum ini, acara sama diadakan di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam dan Stadium Sultan Sulaiman, Klang. Ia juga pernah diadakan di Taman Kosas Ampang Jaya dan Dataran Pantai Morib Kuala Langat.

Selain itu, program turut berlangsung di Stadium Utama Kuala Selangor, Dataran Boulevard Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Padang Awam Batu Caves.


Pengarang :