Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Polis tahan pengasuh kes bayi lapan bulan cedera digigit

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Seorang pengasuh berusia 43 tahun ditahan Sabtu lepas kerana disyaki cuai sehingga menyebabkan seorang bayi jagaannya berusia lapan bulan cedera di muka dan telinga.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata wanita itu ditahan di rumahnya di Taman Putra, Ampang di sini pada 11.45 malam selepas satu laporan polis dibuat oleh ibu bayi berkenaan pada Jumaat lepas.

“Jumaat lepas, ibu bayi itu yang berusia 32 tahun mengambil anak perempuannya dari rumah suspek pada 5.40 petang dan mendapati ada kesan gigitan pada muka serta kesan pulasan pada kedua-dua telinga bayi berkenaan, sebelum merujuk bayinya ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Farouk berkata mengikut laporan kecederaan itu dipercayai akibat anak jagaan yang lain menggigit muka bayi berkenaan semasa pengasuh itu keluar untuk melakukan urusan peribadi pada kira-kira 12 tengah hari dan membiarkan mereka dijaga oleh dua anak kandungnya yang berusia lapan dan 16 tahun.

“Wanita itu didapati menjaga enam kanak-kanak berusia antara tiga bulan hingga dua tahun dan dia kini direman sehingga Rabu ini,” katanya.

Menurutnya disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menganiayai kanak-kanak sehingga mengalami kecederaan fizikal dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

– BERNAMA


Pengarang :