Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Shah Alam Azli Yusof (kanan) menyertai program Rimba Komuniti di Setia Alam, Shah Alam pada 10 November 2022. Foto Facebook Azli Yusof
AGENDANASIONAL

Calon HARAPAN Shah Alam tekad perjuang isu pelihara alam sekitar

SHAH ALAM, 10 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Shah Alam tekad memperjuang isu pemeliharaan alam sekitar sekiranya diberi mandat pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Azli Yusof berkata perkara itu seiring dengan tawaran HARAPAN bagi memastikan krisis iklim dapat diurus dengan tuntas demi masa depan generasi akan datang.

“Saya mengambil maklum aduan daripada persatuan Rimba Komuniti Shah Alam yang mahu kerajaan mengekalkan dan mewartakan hutan simpan di kawasan ini. Saya sokong perkara ini.

“Hutan di Shah Alam perlu diberi perlindungan demi keperluan ekologi, pendidikan, kesihatan dan rekreasi masyarakat setempat.

“Insya-Allah perkara ini akan menjadi perhatian saya kerana hutan adalah ‘paru-paru bumi’ yang mesti dipelihara bersama,” katanya kepada SelangorKini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program mendaki di Shah Alam Community Forest (SACF) di Setia Alam di sini.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Shah Alam Azli Yusof ketika menyertai program Rimba Komuniti di Setia Alam, Shah Alam pada 10 November 2022. Foto Facebook AZLI YUSOF

Sementara itu, Setiausaha SACF Alicia Teoh berkata beliau berharap kerajaan baharu yang bakal mentadbir mengambil serius berhubung isu pemeliharaan alam sekitar.

“Terima kasih kepada calon Parlimen Shah Alam (Azli Yusof) kerana menerima pelawaan kami untuk mendaki hari ini (semalam) walaupun sibuk dalam kempen PRU15.

“Kita menyokong tawaran HARAPAN yanag mahu memelihara alam sekitar terutama menggubal akta perubahan iklim, harap ia dapat dilaksana,” katanya.


Pengarang :