Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat ketika melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung Johan Setia, Klang pada 10 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MetMalaysia keluar amaran bah, negeri atur pelan awal depani bencana

KLANG, 11 NOV: Persediaan negeri berdepan bencana banjir kali ini lebih tersusun dan pantas terutama dalam urusan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa, kata Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, langkah awal diambil susulan kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang meramalkan musibah itu pada minggu kedua November.

“Ini membuktikan kebimbangan berkenaan banjir pada November telah berlaku semalam dan menyebabkan pemindahan mangsa termasuk penggunaan sekolah,” katanya ditemui di sini malam tadi.

“Malah, ada unsur menunjukkan lanjutan (hujan) bukan hanya satu atau dua hari. Sebahagiannya faktor kadar penurunan hujan lebih tinggi seperti di Meru 104mm berbanding kebiasaan 80 ke 80mm.”

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung Johan Setia, Klang pada 10 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Amirudin menjelaskan banjir yang berlaku di Selangor ketika ini disebabkan kadar hujan yang tinggi daripada biasa iaitu melebihi 104mm, bukan masalah perparitan.

Bagaimanapun, beliau mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk membersihkan longkang setiap masa terutama di kawasan perumahan yang berisiko banjir.

“Ia bukan berlaku di Selangor sahaja tetapi juga di Melaka, Perak dan Sabah. Memang ada anggapan begitu (masalah perparitan) terutama apabila air pasang, tetapi alhamdulillah tidak perlu sampai ke pusat pemindahan,” katanya lagi.

Hujan lebat hampir dua jam petang semalam menyebabkan beberapa kawasan sekitar Klang dan Shah Alam dilanda banjir kilat dengan ratusan mangsa dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara.


Pengarang :