Peserta yang hadir ketika pelancaran Bulan Pembebasan Riqab anjuran Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 1 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Kekang ajaran sesat, orang ramai diminta salur maklumat

SHAH ALAM, 2 NOV : Majlis Agama Islam Selangor (Mais) meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa mengenai aktiviti ajaran sesat di negeri ini.

Agensi tersebut memaklumkan masih terdapat umat Islam yang terpengaruh dengan ajaran sesat walaupun banyak fatwa mengenainya telah dikeluarkan.

“Sejak Ogos 1991 hingga 2016 hampir 42 fatwa dikeluarkan di negeri ini mengenai ajaran sesat. Fatwa yang dikeluarkan melibatkan ciri-ciri dan penerbitan berkaitan ajaran tersebut yang didapati menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

“Antara ajaran yang difatwakan sesat ialah ajaran Milah Abraham@Ibrahim, ajaran Syiah, Kumpulan Negara Islam Indonesia (NII), Tarikat Al Hasanah, ajaran Zamree bin Abdul Wahab dan fahaman Wahdatul Wujud,” katanya di Facebook.

Menurut Mais, pelbagai usaha dilakukan bagi mengekang penyebaran ajaran sesat seperti membuat penyelidikan sebelum difatwa, disusuli program kesedaran kepada masyarakat sehinggalah mengheret mereka ke muka pengadilan.

“Bagaimanapun masih muncul beberapa ajaran sesat dan salah, malah masyarakat masih terpengaruh dengan ajaran tersebut,” katanya.

Tambah kenyataan itu, walaupun pihak berkuasa mempunyai mekanisme dan cara tertentu untuk membanteras ajaran sesat, masyarakat diminta menyalurkan maklumat dan bersedia menjadi saksi di mahkamah bagi memastikan kegiatan tersebut dibanteras hingga ke akar umbi.

Orang ramai juga boleh mengikuti kupasan menyeluruh mengenai ajaran sesat yang bertajuk Awas : Hati-Hati Dengan Ancaman Ajaran Sesat https://www.mais.gov.my/…/awas-hati-hati-ancaman…/


Pengarang :