Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media pertama setelah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 di Sungai Long Golf Club House, Kajang pada 24 November 2022.- Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

PM: Kerajaan perpaduan pastikan negara, ekonomi stabil, tolak rasuah

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan perpaduan yang dibentuk hari ini dengan penyertaan beberapa parti akan memastikan kestabilan negara dan ekonomi serta menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan.

Dalam sidang media sulungnya malam ini, Anwar berkata sehingga tempoh beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 5 petang tadi, terdapat tiga komponen terbesar yang membentuk kerajaan perpaduan iaitu Pakatan Harapan (HARAPAN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau berkata HARAPAN merupakan blok terbesar dengan jumlah Ahli Parlimen seramai 82 orang diikuti BN (30) dan GPS seperti yang disahkan oleh Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, 23 orang.

Menegaskan soal kestabilan kerajaan yang baharu dibentuk tidak berbangkit, beliau berkata kerajaan perpaduan itu yang turut disertai Warisan, Muda dan Parti Bangsa Malaysia juga tidak menolak kemungkinan penyertaan parti lain.

“Saya ingin tegaskan dalam acara pertemuan pertama dengan rakyat selaku Perdana Menteri bagi seluruh rakyat Malaysia, mewakili semua kaum dan menjamin keharmonian semua rakyat, saya tetap bersedia menerima penyertaan semua yang lain untuk menjadikan negara ini stabil.

“Saya meraikan rakan-rakan termasuk daripada Perikatan Nasional (PN) walaupun kenyataan Pengerusinya pada peringkat awal tidak memberangsangkan iaitu mempertikai keabsahan dan jumlah kita,” katanya.

Anwar berkata pihaknya mengalu-alukan penyertaan mana-mana parti namun dengan syarat mereka mesti bersetuju dengan asas pembentukan kerajaan perpaduan iaitu tadbir urus yang baik, tiada tolak ansur terhadap rasuah dan Malaysia untuk semua rakyat Malaysia.

“Saya tidak akan bertolak ansur sama sekali dengan rasuah… ini disepakati. Ini juga syarat kita dalam membentuk Kerajaan Perpaduan Nasional.

“Saya mengalu-alukan PN memberikan pertimbangan apakah mereka bersedia untuk mendukung kerajaan ini yang sudah kuat dan stabil (merujuk kepada jumlah keseluruhan Ahli Parlimen),” katanya.

Pengerusi HARAPAN itu turut menegaskan selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang menyaksikan Bahasa Melayu, hak orang Melayu, agama Islam dan kedaulatan Raja-Raja Melayu menjadi rohnya, kerajaan di bawah pimpinan beliau juga tidak akan bertolak ansur untuk menjamin hak kewarganegaraan, peluang mengiktiraf hak semua kaum, agama dan wilayah di negara ini.

“Saya tidak mahu ini hanya menjadi slogan enteng, tetapi harus ada usaha yang lebih berkesan untuk menjaminnya… kita tak nafikan ada suara-suara keresahan rakyat, sebahagiannya yang dimainkan parti politik tertentu tanpa mengira wacana dan perbahasan semasa kempen pilihan raya,” katanya.

Menegaskan bahawa Malaysia adalah untuk semua rakyat Malaysia, Anwar sekali lagi mengulangi bahawa tiada sesiapapun yang akan dipinggirkan di bawah kepimpinannya.

Menyentuh manifesto parti yang berbeza dalam kerajaan perpaduan, beliau berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan isu teras yang dibangkitkan termasuk tadbir urus yang baik, pencegahan rasuah, kebebasan badan kehakiman dan paling penting isu yang menyentuh kebajikan rakyat.

Ditanya mengenai pelantikan Timbalan Perdana Menteri, Anwar berkata biasanya jawatan itu diberikan kepada blok kedua terbesar dalam kerajaan.

“Oleh kerana Perdana Menteri daripada PH, biasanya Timbalan Perdana Menteri itu daripada komponen kuat yang lain. Setakat ini BN, dan kepada Sabah dan Sarawak. Komponen yang kuat di Sabah dan Sarawak ialah GPS, jadi ini dalam pertimbangan,” katanya.

Beliau turut melahirkan kesyukuran selepas dilantik menjadi Perdana Menteri.

“Kita telah saksikan perubahan yang dinantikan rakyat Malaysia sepertimana saya tegaskan sebelum ini, perubahan ini satu penghargaan bukan untuk seorang sosok Perdana Menteri baharu atau barisan kepimpinan baharu tetapi meletakkan harapan baharu bagi rakyat Malaysia.

“Mengangkat martabat mereka, menghentikan kebobrokan rasuah dan salah guna kuasa serta membela nasib rakyat,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :