BUDAYARENCANA

Tafsiran semula Ramayana dalam Raavanan

Oleh Jaymani Sevanathan

Adaptasi karya sastera kepada filem bukanlah baru dalam sinema India. Daripada sutradara Satyajit Ray kepada Rajiv Menon, Vetrimaaran, Sudha Kongara dan seorang susuk penting dalam sinema Tamil – Mani Ratnam. Ratnam beberapa kali mengadaptasi karya penting kepada filem dalam lingkungan Hindu-India-Tamil. Tiga filem tersebut ialah yang terbaru Ponniyin Selvan: I (2022), Raavanan (2010) dan Thalapathy (1991).

Kalau diikutkan kaedah adaptasi Klein dan Parker (1987) menurut buku Layar Kata: Pertalian Sastera dan Filem (2022), Ponniyin Selvan boleh dikatakan mengaplikasikan terjemahan dasar. Ratnam mengekalkan tema, watak, plot, latar dan adegan daripada novel Ponniyin Selvan (1954) karangan Kalki Krishnamurthy. Bagi Thalapathy, adaptasi longgar daripada sastera epik, Mahabharata. Ratnam hanya memfokuskan seorang protagonis: Karna. Ini diperkatakan oleh beliau sendiri dalam buku Conversations With Mani Ratnam (2012) tulisan Baradwaj Rangan. Raavanan pula menggunakan kaedah interpretasi semula. Boleh juga dikatakan sebagai penceritaan semula. Ratnam menyuguhkan tafsiran baharu terhadap sastera epik Ramayana versi Maharishi Valmiki. Raavanan inilah yang sering membawa persoalan dalam diri saya sejak beberapa tahun yang lepas. Mengapa saya perkatakan begitu?

Sejak kecil, saya termasuk majoriti penganut Hindu sudah ditanamkan penyataan bahawa Ramayana merupakan sebuah karya sempurna yang penuh dengan nilai murni dan pengajaran. Bahawa kuasa jahat akan tertewas jua akhirnya di tangan kuasa baik. Saya mengenali karya ini daripada ayah yang membeli cakera video digital animasi Ramayana ini ketika saya berumur 7 tahun. Sejak itu saya kerap ulang tontonnya bersama keluarga. Kepahlawanan Rama, Laksmana dan Hanuman itu mengagumkan saya. Betapa sempurnanya Rama menerusi lensa mata saya. Tidak lupa bagaimana saya dan abang akan bersorak kepuasan melihat sepuluh kepala Raavana – watak yang paling dibenci itu dicantas oleh Rama.
Tetapi satu dasawarsa kemudian, Ratnam membawa perspektif baharu dalam penceritaan semulanya. Perwatakan Dewa Rama yang sinonim dengan perwatakan baiknya, penuh keperwiraan dan sempurna ditunjukkan sebaliknya. Raavana yang lazim dilihat sebagai raksasa, tidak berhati perut dan jahat pula menjentik seribu tanda tanya dalam kepala penonton.

Raavana versi Ratnam dimanusiakan. Tidak ada kisah para dewa dan seumpamanya. Tetapi, hampir kesemua watak dijelmakan semula dengan watak sebenar dalam Ramayana – Rama, Raavana, Sita, Hanuman, Kumbakarna, Vibhishana, Shurpanakha malah Jatayu sendiri. Bahagian Yuddha Kanda difokuskan di mana perang Rama-Raavana berlaku. Tetapi dalam filem ini, perang ini berlaku antara ketua Adivasi (orang asal) dan pihak polis. Ketua Adivasi itu merupakan jelmaan Raavana manakala polis itu ialah Rama. Dalam filem ini, masalah sosiopolitik diketengahkan di mana sememangnya di India wujud konflik antara Adivasi dan sang penguasa yang berlanjutan sehingga sekarang.

Filem Raavanan ini membawa dua sisi berbeza terhadap kewiraan Rama dan Raavana. Sama seperti pewacanaan tentang Hang Tuah dan Hang Jebat. Masyarakat Melayu sinonim dengan mengangkat keunggulan Hang Tuah sebagai adiwira bangsa Melayu. Tetapi menurut Ahmad Muziru Idham dalam eseinya, Teks Hikayat Hang Tuah kepada Filem (2022): pengarah filem Hang Jebat sangat berani kerana membawa naratif yang melanggar kebiasaan masyarakat menerusi watak Hang Jebat sebagai wira masyarakat walaupun sudah lama Hang Jebat dianggap sebagai pengkhianat bangsa. Hampir begitulah yang tervisual dalam Raavanan.

Filem ini mencabar beberapa kepercayaan yang dipegang secara mendalam tentang sifat baik dan jahat dalam budaya Hindu. Epik Hindu khususnya Ramayana sentiasa ditonjolkan sebagai kisah dongeng moral.
Tetapi, adakah idealisme dan pentafsiran Mani Ratnam ini sesuatu yang baru dalam sejarah dan tidak pernah dibahas oleh mana-mana pihak sebelum ini? Ramayana memiliki pengaruh yang kuat dan di India sahaja, terdapat pelbagai versi tersendiri tetapi yang paling biasa dibaca dan diterjemah ialah versi Valmiki. Bagi mencabar dan mewujudkan perspektif “sebenar”, Periyar E.V Ramasami mengarang buku The Ramayana: A True Reading. Beliau melihat Ramayana versi Valmiki sebenarnya melakarkan penindasan dan perpecahan sosial Indo-Aryan ke atas masyarakat Dravida malah kandungan serta perwatakannya juga tidak tepat. Jyotirao Phule yakni seorang pemikir sosial juga menggambarkan Rama sebagai simbol kezaliman malah menganggap Veda sebagai teks yang membawa kesedaran palsu.

Ramayana bukanlah karya yang sempurna. Bahagian ke-6 antaranya, Uttara Kanda, membuktikannya. Rama kembali ke Ayodhya bersama Sita, Laksmana dan Hanuman. Tetapi tohmahan fitnah ke atas Sita berlaku apabila dituduh tidak suci ketika keberadaannya dalam pangkuan Raavana. Apa yang Rama lakukan adalah dengan menyuruh Sita menjalani Agni Pariksha demi membuktikan kesuciannya. Rama juga menyuruh Laksamana membawa Sita ke hutan dan meninggalkannya di sana. Raavana pula membalas kesumat dengan menculik Sita disebabkan adiknya dihina dan dicederakan oleh Laksmana khususnya.

Meromantiskan perbuatan Ravana ataupun Rama itu sebenarnya perkara sia-sia. Ratnam hanya membuat penonton memahami kepentingan melihat situasi atau hujah tertentu melalui perspektif yang berbeza, lebih tepat, pandangan yang berkemungkinan kita takut untuk menilai. Winston Churchill pernah berkata, sejarah ditulis oleh orang yang menang. Kadang kala kita terlalu taksub, selesa dan memuja kemenangan itu apabila melihat kebenaran dengan sebelah mata sahaja.

Rama sentiasa dipandang sebagai lelaki dan suami ideal sehingga sekarang. Sikapnya tetap dipuji walaupun setelah kesetiaan Sita diwahamkannya. Raavana pula seorang Raja di pulau Sri Lanka dan memiliki ciri-ciri hebat. Misalnya, dia menguasai segala teks Veda, penganut setia Dewa Shiva dan seorang Raja yang prihatin akan rakyatnya. Tetapi dia menculik Sita dan berdendam dengan Rama.
Saya gemari kalimat Shaharuddin Maaruf dalam Konsep Wira Dalam Masyarakat Melayu (2014):

Pendiriannya menganjur Hang Jebat sebagai wira mewujudkan satu bentuk kesedaran palsu dalam masyarakat Melayu. Orang-orang Melayu terpedaya dalam menyangkakan yang mereka telah membebaskan diri dari pengaruh feudal walhal sebenarnya mereka cuma menggantikan seorang tokoh feudal dengan seorang tokoh feudal yang lain.

Ringkas kata, Raavanan mengisahkan cerita daripada kaca mata Raavana. Apakah keadilan sebenarnya di belah pihaknya? Semestinya bukan semua penganut Hindu, konservatif dan ortodoks dapat menerima persoalan ini. Sebab itulah pemaknaan semula Ratnam ini penting. Kita belajar menerima, mentafsir, menentang dan barangkali proses ini berulang kembali.

 


Pengarang :