Wan Nur Laila Muhammed Arifin, 32, (tengah) menerima sijil Skim Insurans Am Selangor (INSAN) daripada Dato’ Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari selepas melancarkan skim perlindungan percuma itu sempena Jelajah Selangor Penyayang di Klang pada 23 Oktober 2022. Foto REMY ARIIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

3.5 juta daftar insurans percuma, 1,584 pemohon ditolak tidak penuhi kriteria

SHAH ALAM, 2 DIS : Seramai 3.56 juta penduduk di negeri ini memohon Skim Insurans Am Selangor (INSAN) setakat 17  November lalu.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata daripada jumlah yang mendaftar skim perlindungan percuma itu, sebanyak 1,584 permohonan ditolak kerana tidak memenuhi kriteria ditetapkan.

“Syarat untuk memohon skim ini adalah pemohon berusia 30 hari hingga 80 tahun dan pemegang kad pengenalan kod negeri atau beralamat Selangor di atas kad pengenalan serta pengundi negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan wakil rakyat Pandamaran Leong Tuck Chee berhubung perkembangan program INSAN dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sementara itu, wakil rakyat Sentosa Dr G Gunarajah turut mencadangkan data sedia ada dalam Skim Mesra Usia Emas atau Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) diguna pakai secara terus bagi mendaftar INSAN.

Chang Khim menjelaskan pihak pelaksana sudah membuat permohonan kepada pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk mendapatkan senarai tersebut supaya dapat mendaftar secara automatik.

“Bagaimanapun, itu hanya pada peringkat pertama kerana kita perlu mendapatkan persetujuan individu yang didaftarkan dan mereka perlu memuat turun aplikasi Wavpay untuk memperoleh e-sijil. Tuntutan e-sijil perlu untuk mengelak masalah kemudian hari,” katanya lagi.

INSAN adalah polisi insurans kemalangan diri berkumpulan untuk enam juta penduduk berusia antara 30 hari sehingga 80 tahun yang premiumnya ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri.

Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.

Pendaftaran sehingga 30 September 2023 boleh dibuat melalui aplikasi Wavpay yang boleh dimuat turun di AppStore, Google Play atau Huawei App Gallery. Maklumat lanjut, layari programinsan.com.

Aplikasi Wavpay dibangunkan Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd, sebuah syarikat dalam Kumpulan MBI,
yang berperanan sebagai pengendali perkhidmatan.


Pengarang :