Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran pada program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Kuang di Dataran Setia, Kampung Setia, Kuang pada 30 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

39 program jualan murah negeri dianjur di Kuang, manfaat 10,000 keluarga

Oleh Azian Aziz

SELAYANG, 6 DIA: Kira-kira 10,000 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang menerima manfaat  program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) yang dijalankan secara berjadual sejak 6 September hingga hari ini.

Penyelaras DUN Kuang Salasiah Disa berkata sebanyak 39 kali jualan murah diadakan dalam tempoh tersebut dan pagi tadi adalah program jualan murah yang terakhir bagi tahun ini

Salasiah Disa. Foto AZIAN AZIZ/SELANGORKINI

Ujarnya, inisiatif tersebut dianjurkan di Dataran Penghulu Kampung Setia sebanyak 15 kali, Puteri Centre Park, Tasik Puteri (15), Jalan Kuang Batu 17 (3) Dewan Merdeka Kuang (2), Desa Kundang (1), Bandar Baru Kundang (1), Kampung Baru Kundang (1) dan Medan Selera Tasik Biru (1).

“Setiap kali program JER diadakan pasti mendapat sambutan daripada penduduk kerana hampir semua barangan terutama ayam, telur dan beras habis dijual.

“Program ini memang sangat-sangat membantu rakyat kerana mereka dapat membeli makanan asas dengan harga yang sangat murah,” katanya ketika ditemui dalam Program JER di Medan Selera Tasik Biru, Kundang, Kuang hari ini.

Menurut Salasiah, pihaknya akan bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk meneruskan program JER pada tahun depan.

“Terima kasih Kerajaan Negeri dan PKPS kerana mengadakan program sebegini untuk rakyat,” katanya.

PKPS menawarkan barangan dapur seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Program melibatkan 56 DUN bermula September lepas sepatutnya berakhir 6 Disember ini, namun Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan inisiatif itu disambung sehingga Mac tahun depan susulan sambutan menggalakkan.


Pengarang :