Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Air Selangor menjalankan pemantauan ke atas kualiti air sungai di kawasan insiden pencemaran supaya dua LRA terbabit dapat beroperasi semula. Foto Facebook LUAS
AGENDANASIONAL

Bacaan pencemaran bau di dua loji masih tidak selamat

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 25 DIS: Status bacaan pencemaran bau di dua Loji Rawatan Air (LRA) yang dihenti tugas semalam masih tidak selamat untuk beroperasi semula.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan bacaan pencemaran untuk LRA Bukit Tampoi mencatatkan 2 TON manakala LRA Sungai Semenyih iaitu O TON setakat jam 8 pagi tadi.

“Loji-loji ini hanya boleh mula beroperasi semula setelah bacaan 0 TON direkodkan sebanyak tiga kali berturut-turut,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan terus menjalankan pemantauan rapi ke atas kualiti air sungai di kawasan insiden pencemaran agar dua LRA terbabit dapat beroperasi semula dengan segera.

Semalam, dua LRA itu dihenti tugas akibat tumpahan pati minyak wangi daripada kemalangan lori membawa muatan itu di Lebuhraya ELITE berdekatan Bandar Serenia di Negeri Sembilan.

Tumpahan 1,000 liter pati minyak wangi tersebut telah menyebabkan pencemaran bau dan LRA terbabit terpaksa dihenti tugas bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Berikutan insiden pencemaran bau itu menyebabkan 472 kawasan di lima wilayah Air Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terjejas di https://hentitugas.airselangor.com/ atau menerusi aplikasi Air Selangor.


Pengarang :