Ilustrasi perbicaraan dalam mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bekas guru tuisyen mengaku tidak salah gubah wang haram hasil jual bayi

SHAH ALAM, 13 DIS: Seorang bekas guru tuisyen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini atas tuduhan gubahan wang haram hasil aktiviti jualan bayi tahun lalu.

Tertuduh, Jamaliah Ahmad, 62, juga mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menerima wang tunai berjumlah RM12,000, hasil aktiviti haram di lobi sebuah hotel di Jalan Penang pada 7 malam, 15 Disember 2021.

Ikat jamin RM10,000 dibenarkan dengan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak boleh mengganggu saksi.

Kes mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sebutan kes 13 Januari 2023 untuk serahan dokumen.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Berdasarkan fakta kes, wanita itu didakwa menerima seorang bayi perempuan daripada seorang wanita warga Indonesia untuk dijadikan anak angkat pada Disember 2021.

Dia dikatakan telah mengiklankan bayi itu di Facebook, ‘Group Pencarian Anak Angkat’ dan menerima sejumlah wang daripada suami isteri dari Terengganu yang mahu mengambil bayi tersebut.


Pengarang :