Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah mengemudi kapal layar ‘Venture’dalam Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor membabitkan laluan dari Pelabuhan Klang-Pulau Pangkor-Pulau Pinang-Langkawi bermula 19 hingga 27 November 2022. Foto Facebook Selangor Royal Office
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Prestij pelayaran Raja Muda tempa sejarah, latih bakat muda

Artikel ini disiarkan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ke-77 pada 11 Disember 2022.

Rencana berkaitan Tuanku Sultan, DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah akan disiarkan secara berperingkat mulai 9 Disember.


SHAH ALAM, 13 DIS: Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) yang diasaskan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 1990 sentiasa dinantikan penggiat sukan itu dari seluruh dunia.

Kejohanan itu diperkenal Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ketika menjadi Raja Muda kerana cintanya terhadap dunia pelayaran.

Baginda turut belayar sejauh 32,200 batu mengelilingi dunia pada 4 Februari 1995 ketika memangku tugas Sultan Selangor pada usia 49 tahun.

Mengikut Arkib Negara, Sultan Sharafuddin teruja apabila hasrat sejak kecil diperkenan ayahandanya Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Baginda kemudian mengembara di lautan luas melalui kapal layar buatan Finland. Kapal sepanjang 20 meter iaitu S.Y Jugra membawa Baginda merentasi tiga lautan, 14 perairan, tiga terusan dan 159 pelabuhan.

Selama 644 hari berlayar, Baginda ditemani anak kapal berpengalaman dari New Zealand iaitu Craig Rosevear, Mark Crossen dan Clare John Stone.

Pengembaraan itu menempa sejarah berikutan Baginda menjadi anak Melayu pertama berbuat demikian.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah mengemudi kapal layar ‘Venture’dalam Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor membabitkan laluan dari Pelabuhan Klang-Pulau Pangkor-Pulau Pinang-Langkawi bermula 19 hingga 27 November 2022. Foto Facebook Selangor Royal Office

Latih bakat muda

Pencapaian Baginda tercatat dalam The Malaysia Book of Records sebagai ‘Anak Melayu Pertama Belayar Mengelilingi Dunia’.

Minat Baginda diteruskan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang sering menyertai RMSIR termasuk tahun ini. Edisi terbaharu menyaksikan Baginda yang mengemudi kapal layar ‘Venture’ menjuarai Kelas 3.

Seperti ayahandanya, Tengku Amir Shah tidak kekok untuk mengendalikan kapal layar. Selaku komodor seumur hidup Royal Selangor Yacht Club (RSYC), Baginda aktif membantu melatih bakat muda tempatan bagi menjadi pelayar terkemuka.

Kejohanan perlumbaan kapal layar kedua tertua di Asia itu membabitkan laluan dari Pelabuhan Klang-Pulau Pangkor-Pulau Pinang-Langkawi bermula 19 hingga 27 November.

Ia disertai 32 bot dan 320 kelasi dari dalam dan luar negara seperti Hong Kong, Australia, New Zealand, United Kingdom, Thailand serta Singapura.

Pelayaran sembilan hari melalui perjalanan sejauh 260 batu bukan mudah kerana peserta perlu melalui cuaca tidak menentu. Kepakaran dan teknik dituntut untuk sampai ke garis penamat.

Edisi kali ini turut memfokus usaha mempromosi pelancongan budaya, kesenian dan warisan bagi meningkatkan sektor pelancongan negeri.

Ia turut dimeriahkan dengan program pembersihan sungai dan lawatan untuk memperkenal peserta dengan gastronomi Klang khususnya makanan warisan seperti nasi ambeng.

Selain bidang sukan, Tengku Amir Shah juga aktif menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan seperti anak yatim dan orang kurang upaya.

Setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri, Baginda akan menghulur duit raya dan sumbangan kepada asnaf bagi meringankan beban golongan berkenaan.

Pada musim banjir tahun lalu, Baginda bersama anggota keselamatan turut membantu menyelamat mangsa bah yang terperangkap serta mengagihkan bantuan keperluan.

 


Pengarang :