Pasukan penyelamat membawa keluar mangsa yang terselamat dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran ladang organik, Gohtong Jaya pada 16 Disember 2022. Foto Facebook Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia
AGENDANASIONAL

‘Dengar dentuman kuat, kejut ibu dan anak dalam khemah’

SHAH ALAM, 16 DIS: Seorang mangsa yang terselamat dalam insiden tanah runtuh di Gohtong Jaya mengejutkan ibu dan anaknya selepas terdengar dentuman kuat di sebelah tapak perkhemahan.

Lelaki berusia 40-an dari Klang yang datang bercuti bersama keluarga dan dua keluarga rakan menyifatkan kejadian itu mengerikan, lapor Berita Harian.

“Sebelum itu, saya sudah mendengar bunyi pokok tumbang dan dentuman kuat. Selepas keluar dari tandas, saya lihat sudah berlaku runtuhan tanah.

“Saya terus ke khemah mengejutkan ibu dan anak serta keluarga rakan yang ketika itu sedang tidur. Saya kejutkan semua dan kami cari jalan keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Seorang lagi mangsa insiden pada kira-kira jam 2 pagi itu berkata beliau terdengar bunyi yang sama sebelum merasai pergerakan tanah.

Leong Jim Meng, 57, berkata dia mengejutkan ahli keluarga lain yang sedang tidur dan mereka dibantu pihak berkuasa untuk keluar dari lokasi kejadian.

Terdahulu, lapan individu disahkan maut manakala 60 berjaya diselamatkan akibat tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan awam di Gohtong Jaya.

Menurut bomba kejadian di berhampiran Father’s Organic Farm itu dianggarkan setinggi 30 meter dengan keluasan runtuhan sebesar tiga ekar.


Pengarang :