Pengguna Bas Smart Selangor mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal sebelum menaiki pengangkutan awam itu di hentian bas Seksyen 13, Shah Alam pada 5 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Sungai Ramal peruntuk RM100,000 bina lima hentian bas

SHAH ALAM, 27 DIS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal memperuntuk sebanyak RM100,000 bagi membina hentian bas di kawasan terbabit.

Wakil rakyatnya berkata lima hentian bas dibina secara berperingkat sejak November 2020 sehingga Disember tahun ini.

Menurut Mazwan Johar, hentian pertama dibina di depan Masjid Hasanah, Bangi diikuti Seksyen 4 Tambahan; Bandar Baru Bangi; Pekan Bangi dan Taman Impian Ehsan.

“Alhamdulillah hentian bas kelima iaitu di Taman Impian Ehsan selesai dibina dalam tempoh sebulan sejak November lalu.

“Kita harap penduduk dapat memanfaatkan hentian bas ini sebaiknya dan bertanggungjawab, elakkan sikap vandalisme,” katanya ketika dihubungi.

Mazwan berkata pembinaan itu juga bertujuan memberi keselesaan kepada orang awam supaya mereka ada tempat berteduh.

“Selain menyediakan tempat teduhan, kita juga menampal informasi menarik seperti inisiatif ditawarkan Kerajaan Negeri dan maklumat berhubung Covid-19 di hentian bas ini.

“Insya-Allah, kita akan terus membina atau menambah baik infrastruktur di DUN Sungai Ramal demi keselesaan penduduk setempat pada masa akan datang,” katanya lagi.


Pengarang :