Rodziah Ismail
EXCOSELANGOR

EXCO: 448 bangunan berstrata tiada badan pengurusan bersama

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 23 DIS: Sebanyak 448 pangsapuri atau bangunan berstrata di negeri ini tidak mempunyai Badan Pengurusan Bersama (JMB).

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail berkata kebanyakan bangunan yang tidak diurus tersebut merupakan pangsapuri kos rendah dan sederhana dengan jumlah paling banyak dikesan di Klang.

“Indikasi ini membimbangkan kerana antara faktor yang kita lihat bukan sahaja tiada pengurusan tetapi tiada orang yang sanggup urus kerana banyak isu antaranya bangunan terlalu uzur selain tiada kewangan untuk selesaikan masalah yang berlaku.

“Sebab itu kita cadang kepada Kerajaan Negeri untuk bantu bagi pastikan keadaan di pangsapuri terlibat dapat dipulihkan sebaik mungkin,” katanya ditemui pada Majlis Apresiasi JMB dan Perbadanan Pengurusan (MC) di Dewan Bankuet MBSA semalam.

Menurut Rodziah, terdapat dua pendekatan yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri bagi membantu menguruskan bangunan tersebut iaitu untuk melihat infrastruktur sedia ada dengan kos penambahbaikannya memerlukan bajet.

“Yang kedua kita akan menyediakan agensi khusus untuk mengambil alih pengurusan ini melalui Skim Lestari Harmoni yang baru sahaja diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya.

JMB merupakan satu jawatankuasa yang dianggotai dan ditadbir oleh pemilik petak atau penduduk dalam mengurus dan menyenggara bangunan serta diwajibkan di semua bangunan bertingkat yang tertakluk di bawah hak milik strata.


Pengarang :