Pengarah Urusan Kusel Khairul Azmi Misran menunjukkan buku Garis Panduan Laluan Kemudahan Utiliti dan Penggalian Jalan Negeri Selangor dalam sesi temu bual bersama Media Selangor di Bangunan Sultan Salahhuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kusel mudahkan proses permohonan ribuan permit pembangunan utiliti

SHAH ALAM, 23 DIS: Koridor Utiliti Selangor (Kusel) membantu memproses kira-kira 1,000 permohonan permit pembangunan syarikat penyedia utiliti sejak beroperasi April lalu.

Pengarah urusannya berkata peranan agensi itu sebagai pemudah cara atau pusat sehenti untuk membantu pihak terbabit mempercepat permohonan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurut Khairul Azmi Misran, pihaknya turut menambah baik perkhidmatan dengan memperkenal permohonan dalam talian yang menjimatkan masa pemaju.

“Kita dapat percepat proses izin lalu dan urusan lawatan tapak, selepas itu baru kita laksanakan proses selanjutnya. KUSEL berperanan sebagai pusat sehenti dan pemudah cara untuk penilaian.

“(Sebarang) kelulusan masih di tangan PBT dan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya dalam temu bual bersama Selangorkini pada 20 Disember.

Syarikat telekomunikasi, air, elektrik, pembetungan, gas dan pemaju hartanah yang ingin memohon boleh berbuat demkian menerusi laman sesawang www.kusel.my.

Pihak terbabit juga boleh merujuk garis panduan laluan kemudahan dan penggalian jalan dibangunkan KUSEL yang diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Ogos lalu.

Kusel adalah anak syarikat bawah bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sebagai penyelaras dan penyelia hal ehwal utiliti negeri ini.


Pengarang :