Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan lemas selepas kereta jenis Proton Saga yang dipandu bapanya terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Korok, Jitra, Kedah. Foto Facebook Berita RTM
AGENDA NASIONAL

Kanak-kanak 12 tahun maut, kereta dipandu bapa terjunam dalam sungai

JITRA, 14 DIS: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan lemas selepas kereta jenis Proton Saga yang dipandu bapanya terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Korok, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, mangsa Muhammad Khairil Muhaimin Shuhaimi maut dipercayai tidak berjaya keluar daripada kenderaan dipandu bapanya Shuhaimi Hassan, 37.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah Sayani Saidon berkata bapa dan ibu mangsa Nurul Aqmar Zainul, 35, yang sedang mengandung tujuh bulan berjaya menyelamatkan diri.

“Kenderaan dipandu bapa mangsa melalui Jalan Sungai Korok sedang dalam perjalanan dari Tanjung Kapur ke pekan Jitra sebelum hilang kawalan dan terbabas ke dalam Sungai Korok dan tenggelam,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada 2.23 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra telah ke lokasi untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat.

Katanya, operasi mengambil masa kira-kira dua jam sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang terperangkap dan disahkan telah meninggal dunia.

“Semasa menemukan kenderaan tersebut, mangsa masih dalam kenderaan dan kita keluarkan mayat dari kenderaan. Kereta terbalik ke dalam sungai yang dalamnya lima meter dan dipercayai menyebabkan kanak-kanak itu tidak dapat menyelamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Rodzi Abu Hassan berkata mayat telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

– BERNAMA


Pengarang :