Pemandu kenderaan dan penunggang motosikal terpaksa meredah banjir berikutan hujan lebat berterusan ketika tinjauan Selangorkini di Persiaran Jubli Perak Seksyen 22, Shah Alam pada 18 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 50 tempat dikenal pasti berisiko banjir di Selangor

SHAH ALAM, 1 DIS: Lebih 50 kawasan di negeri ini dikenal pasti sebagai lokasi titik panas (hotspot) banjir atau berisiko berdepan dengan bencana itu, kata EXCO infrastruktur.

Bagaimanapun, Ir Izham Hashim memaklumkan jumlah berkenaan bergantung kepada keadaan semasa cuaca.

“Hotspot banjir ini berubah dari semasa ke semasa . Setakat ini lebih 50 kawasan namun masalahnya ialah jika kawasan ini sudah diselesaikan, banjir berlaku pula di tempat lain.

“Sebab itu kita ada pengurusan sumber air secara menyeluruh yang perlu dilaksana untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

“Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) diadakan yang berkait dengan longkang dan saliran serta inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) ditekankan dalam pelaksanaan ini,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung jumlah kawasan titik panas banjir di Selangor pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sementara itu, menjawab soalan wakil rakyat Sementa Dr Daroyah Alwi mengenai jenis pam air digunakan di kunci air, Izham memaklumkan Kerajaan Negeri menggunakan ‘submersible’ kerana kapasiti yang besar.

“Pam ini berkapasiti tinggi dan perlu ditempah enam bulan ke setahun. Jadi ketentuan jenis pam bergantung pada keluasan kawasan atau anggaran ramalan air bertakung dan mengalir.

“Dari situ, kita mempunyai angka untuk menentukan pam yang mana digunakan dan biasanya kawasan sensitif disediakan lebih daripada satu sebagai persediaan jika rosak,” katanya.


Pengarang :