Seorang wanita meredah air yang melimpahi jalan ekoran hujan lebat berterusan semasa tinjauan di Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu pada 9 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Terengganu meningkat, pusat pemindahan dibuka di Kemaman

KUALA TERENGGANU, 11 DIS: Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 599 orang daripada 154 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 308 orang daripada 85 keluarga, malam semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu dalam kenyataan pagi ini memaklumkan Kemaman menjadi daerah baharu dilanda bencana alam itu dengan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka malam tadi.

“Di Kemaman PPS yang telah dibuka adalah Dewan Abdul Rahman Limbong menempatkan 235 mangsa daripada 51 keluarga; Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik seramai 28 mangsa daripada sembilan keluarga; manakala SK Kampung Baru Kerteh seramai 21 mangsa daripada lapan keluarga,” menurut kenyataan itu.

Di Kuala Nerus pula 133 mangsa daripada 33 keluarga ditempatkan di SK Tok Jembal dan 76 mangsa (19 keluarga) kini berada di SK Bukit Nanas manakala di Kuala Terengganu 44 mangsa (14 keluarga) ditempatkan di SK Atas Tol manakala 16 mangsa (enam keluarga) di SK Chendering.

Tiga PPS masih beroperasi di Setiu iaitu SK Kampung Seri Kasar menempatkan 25 mangsa (tujuh keluarga); Balairaya Kampung Bukit Nenas dengan 13 mangsa (empat keluarga) dan Surau Mak Bakas seramai lapan mangsa (tiga keluarga).

Sementara itu di Pahang, hujan lebat berterusan sejak semalam mengakibatkan lima daerah dilanda banjir dengan lapan PPS dibuka bagi menempatkan 537 mangsa daripada 160 keluarga setakat 8 pagi.

Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang memaklumkan daerah Temerloh mencatatkan bilangan mangsa tertinggi dipindahkan ke PPS iaitu seramai 380 orang diikuti Lipis (79 orang), Jerantut (34 orang), Bera (25 orang) dan Raub (19 orang).

Selain itu, dua sungai di Pahang turut melepasi amaran bahaya iaitu Sungai Lipis di Batu Malim, Raub dan Sungai Triang, Bera.

Ramalan cuaca menjangkakan hujan pada sebelah petang di Kuantan, Pekan, Jerantut dan Rompin manakala ribut petir akan melanda beberapa kawasan di Temerloh, Maran, Raub, Cameron Highlands, Bentong dan Bera.

Di Kelantan, 280 mangsa banjir daripada 84 keluarga ditempatkan di sebuah PPS di daerah Pasir Mas setakat 9 pagi ini, meningkat berbanding 120 mangsa daripada 35 keluarga malam tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan kesemua mangsa banjir ditempatkan di PPS SK Tok Deh, Rantau Panjang.

JPBN Kelantan turut memaklumkan Sungai Golok di Rantau Panjang masih menunjukkan trend menaik dan berada di paras bahaya iaitu 9.66 meter berbanding bacaan normal 5.00 meter.

– BERNAMA


Pengarang :