Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cek cura bantuan Tabung Endowmen Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) sebanyak RM37,252 kepada Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta Hulu Selangor Dato’ Ruslee Hashim (dua, kiri) pada program Jelajah Selangor Penyayang di Persiaran As-Salam Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada 4 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPHS salur bantuan lebih RM37,000, ringankan beban pelajar susah

HULU SELANGOR, 4 DIS: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menyerahkan bantuan RM37,252 kepada Kumpulan Penggerak Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta Hulu Selangor menerusi Tabung Endowmen.

Sumbangan disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kepada Pengerusi persatuan itu Dato’ Ruslee Hashim di Jelajah Selangor Penyayang daerah Hulu Selangor hari ini.

Ruslee ketika ditemui memaklumkan pihaknya bersyukur apabila MPHS menubuhkan tabung tersebut yang sememangnya memberi manfaat kepada pelajar daripada golongan berpendapatan rendah.

Menurut beliau, bantuan sedia ada kadangkala tidak mencukupi untuk pelajar sekali gus menyukarkan untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Kita mempunyai 67 sekolah di seluruh Hulu Selangor dan menerusi sumbangan ini kita akan agihkan kepada 17 sekolah untuk bantuan seperti tabung sarapan pagi dan yuran sekolah.

“Tabung ini sangat membantu dan berharap lebih banyak pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat wujudkannya supaya lebih ramai pelajar kurang berkemampuan dapat dibantu,” katanya ditemui SelangorKini.

MPHS merupakan satu-satunya PBT ang menubuhkan Tabung Endowmen selaras dengan salah satu strategi digariskan di dalam Pelan Strategik MPHS 2019-2021 dibawa Teras Memperkasakan Tadbir Urus Ke Arah Kecemerlangan Organisasi.

Tabung tersebut digerakkan bagi mengumpul dana membiayai aktiviti yang meyokong pembangunan lestari.

Konsep pengurusan wakaf diterapkan di dalam pengurusan Endowmen ini agar kelansungan terus berpanjangan sehingga dinikmati generasi seterusnya.


Pengarang :